Anda di sini

PERNAS sentiasa buka ruang kepada usahawan bidang francais di Sarawak

Advertisement
Abang Johari bersama Hazimah (dua kiri) serta rombongan PERNAS merakam kenangan semasa kunjungan hormat di pejabat beliau hari ini.
Abang Johari bersama Hazimah (dua kiri) serta rombongan PERNAS merakam kenangan semasa kunjungan hormat di pejabat beliau hari ini.

KUCHING: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) sentiasa membuka ruang kepada usahawan dalam bidang francais di Sarawak dengan mencari lebih ramai usahawan dalam bidang berkenaan.

Pengerusinya Datuk Hazimah Zainuddin berkata, PERNAS sedia memberi tunjuk ajar dan membantu sekiranya terdapat syarikat-syarikat tempatan di Sarawak yang berhasrat membawa perniagaan mereka ke Semenanjung Malaysia.

“Usahawan-usahawan ini perlu kita bimbing dari peringkat kecil dan sederhana sehingga ke peringkat eksport,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah PERNAS Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek memaklumkan, PERNAS akan menganjurkan Program BizFrancais Sarawak 2023 pada 29 Julai ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Program itu katanya, bagi mempromosi serta memperkenalkan perniagaan francais kepada usahawan-usahawan di Sarawak.

“Melalui program tersebut, kita (PERNAS) berharap agar mereka akan lebih terbuka kepada perniagaan francais.

“Sekali gus dapat mengetahui peluang yang akan diperolehi daripada usahawan atau francaisor yang sedia ada yang boleh membantu mereka untuk mengenali dengan lebih lanjut produk-produk dan perniagaan itu sendiri,” katanya.

Sekiranya berminat katanya, usahawan Sarawak juga boleh mengambil peluang untuk berniaga di bawah francais terbabit.

Tambah beliau, PERNAS turut bercadang bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan ekonomi dan membantu usahawan-usahawan tempatan.

PERNAS merupakan sebuah agensi yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan (diperbadankan) yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais melalui kepakaran dalam memberikan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti.

Selain itu, ia juga berperanan mempelopori dan menerajui pertumbuhan industri francais negara demi merealisasikan matlamat untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang perniagaan francais serta menyediakan khidmat nasihat dan skim-skim khas bagi francaisor dan francaisi serta mengalu-alukan rakan francais ke Malaysia.

Advertisement