Anda di sini

HKN 2023 berjaya jalin kerjasama koperasi Sabah, Semenanjung dan Sarawak

Advertisement
 Ewon (dua kanan) merakamkan gambar kenangan bersama pempamer ketika melakukan tinjauan di HKN 2023.
TINJAU: Ewon (dua kanan) merakamkan gambar kenangan bersama pempamer ketika melakukan tinjauan di HKN 2023.

KOTA KINABALU: Hari Koperasi Negara (HKN) 2023 yang diadakan di sini berjaya menyediakan platform kepada pengusaha tempatan menjalinkan kerjasama dengan usahawan dari luar negeri.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, selepas membuat tinjauan kepada hampir semua pempamer di HKN, beliau mendapat maklum balas positif.

"Kita mempunyai 200 pempamer menyertai program ini, selepas tinjauan dilakukan, saya mendapat makluman bahawa jualan mereka sangat laris dan mendapat sambutan.

"Ada juga yang berjaya mendapatkan kerjasama dengan koperasi lain untuk memasarkan produk serta perkhidmatan mereka," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan HKN 2023 di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ramai peserta dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak turut membuat pameran di sini.

Katanya, mereka berjaya bekerjasama dengan koperasi di Sabah untuk mempamer dan menjual produk mereka.

"Koperasi di Sabah juga akan bekerjasama dengan mereka untuk memasarkan produk masing-masing.

"Inilah tujuan kita membuat HKN di Sabah supaya gerakan koperasi dapat diperkasakan, kerjasama sesama koperasi dapat dimantapkan dan dapat membuka minta serta peluang kepada rakyat Malaysia khususnya di Sabah untuk terlibat sama dalam gerakan ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu menjelaskan lebih 10,000 orang mengunjungi sambutan HKN 2023 yang julung kalinya diadakan di Sabah.

Untuk rekod, HKN 2023 adalah anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), berlangsung sejak 21 Julai sehingga hari ini di  Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Sepanjang tiga hari sambutan, pelbagai acara menarik diadakan termasuk pameran produk, perkhidmatan koperasi dan usahawan, Jualan Madani Koperasi (JMK), Jualan Food Truck, Pameran e-sports serta Mini Game.

Turut diadakan pameran dan klinik perkhidmatan Kementerian, Agensi dan Korporat, Padanan Perniagaan, Program Ayok Cari Kerja dan Jom Masuk IPT dan perkongsian kejayaan koperasi.

  • oleh
  • Advertisement