Anda di sini

PMKS perlu bersedia hadapi cabaran ESG

Advertisement
 Ewon (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan pada majlis berkenaan.
TERBAIK: Ewon (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu bersedia mengharungi cabaran pematuhan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam ekosistem perniagaan. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, walaupun ESG masih diperingkat awal pelaksanaannya, namun ia akan menjadi tonggak utama untuk mengukur kemampuan PMKS serta firma profesional yang lain dalam membina tenaga kerja kukuh dan menambah peluang perniagaan.

"Keperluan ini menjadikan ESG semakin penting dan akan menjadi trend masa hadapan. Ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030. 

"Justeru, saya menggalakkan usahawan untuk mula menerima pakai amalan ESG. Ini kerana ia bukan sahaja memberikan impak sosial dan persekitaran yang positif, tetapi ia dapat membantu usahawan menembusi rantaian bekalan firma besar serta syarikat multinasional yang telah menetapkan keperluan kepatuhan ESG untuk pemasaran pembekalan produk serta perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Jelajah Jiwa SME 2023 Astro Awani di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, untuk Sabah KUSKOP sudah melancarkan beberapa inisiatif untuk usahawan di negeri ini, antaranya Program seperti Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Perniagaan Usahawan Mikro (BizME), Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE), Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Pembiayaan BRTani (BRTani).

Katanya, SPUT oleh TEKUN Nasional merupakan skim pembiayaan khusus untuk usahawan yang berniaga di Pasar Tamu khususnya Sabah dan Sarawak. 

"Had maksimum pembiayaan sehingga RM5,000 dan dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO sebagai perlindungan insurans. Sehingga 12 Julai 2023, TEKUN menyalurkan pembiayaan bernilai RM1.42 juta kepada 289 orang usahawan.

"Bagi tahun ini juga, geran bernilai RM453,245 telah diperuntukkan oleh SME Corp. di bawah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) bagi manfaat lebih daripada 155 usahawan di Sabah untuk membantu perusahaan mikro menaik taraf serta meningkatkan produktiviti serta kecekapan mereka," katanya.

Ewon berkata, pendidikan dan latihan adalah faktor penting dalam memperkuatkan keupayaan usahawan. 

Oleh itu katanya, KUSKOP dan agensi dibawahnya telah menyediakan pelbagai program latihan serta pembangunan keusahawanan yang memberikan pengetahuan, kemahiran, dan sokongan praktikal kepada para usahawan.

Selain itu katanya, Program Usahawan Berkebolehan dan Berkeyakinan (CARE) juga telah dilaksanakan khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Katanya, program itu bertujuan membudaya dan memperluas minda keusahawanan serta memperkasa keusahawanan dalam kalangan OKU. 

"Seramai 91 peserta telah mengikuti latihan, bimbingan dan geran perniagaan," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement