Anda di sini

Basmi kemiskinan tegar melalui gerakan koperasi

Advertisement
 Hajiji semasa merasmikan Hari Koperasi Negara di SICC di sini.
RASMI: Hajiji semasa merasmikan Hari Koperasi Negara di SICC di sini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yakin gerakan koperasi Sabah yang mempunyai 1,707 koperasi berdaftar dengan jumlah anggota lebih 350,000 bagi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mampu membantu membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.

Katanya pencapaian Sabah yang mempunyai bilangan koperasi berdaftar kedua tertinggi di negara selepas Selangor dengan jumlah pendapatan RM570 juta perlu dipuji.

“Ini membuktikan gerakan koperasi di Sabah berjaya memainkan peranannya dan menyumbang secara signifikan sebagai salah satu agen pertumbuhan sosioekonomi yang berpotensi menamatkan kemiskinan tegar,” katanya pada Hari Koperasi Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah ( SICC) di sini.

Hajiji berkata lebih membanggakan apabila empat koperasi dari Sabah iaitu Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad, Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad, Koperasi Borneo Malaysia Berhad dan Koperasi Usahawan Tawau Berhad disenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia tahun lalu.

“Tahniah dengan pencapaian koperasi di Sabah dan saya ingin melihat agar lebih banyak lagi koperasi di negeri ini akan tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun akan datang.

“Kita percaya angka ini boleh dipertingkat apabila kesedaran dan minat menyertai koperasi menjadi cara hidup yang menyumbang kepada kemakmuran sosio ekonomi negara.

“Koperasi adalah pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan sektor keusahawanan, bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Hajiji berkata selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, kerajaan negeri berharap agar gerakan koperasi Sabah dapat mengambil peluang sebaiknya melalui inisiatif serta insentif dana yang disediakan dalam memajukan sektor perniagaan koperasi yang diceburi.

“Begitu juga dari segi bantuan dana dan tabung pembangunan modal koperasi, saya dimaklumkan baru-baru ini Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan bantuan pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM Tahun 2023 (TMPSKM) kepada dua koperasi di Sabah dengan dana keseluruhan berjumlah RM25.9 juta dalam bentuk pembelian aset tanah kelapa sawit seluas 1,500 ekar dan premis perniagaan runcit.

“SKM juga meluluskan bantuan kepada dua buah koperasi melalui program pembiayaan eFAST berbentuk geran pembangunan perniagaan kepada koperasi yang produktif untuk memantapkan perniagaan,” katanya.

Hajiji berkata peranan koperasi menjadi pelengkap dan berganding bahu bersama kerajaan dan sektor swasta dalam mengisi kekosongan dalam membangunkan negeri ini secara spesifiknya.

“Di Sabah kita mempunyai banyak jenis koperasi yang membangunkan sosio ekonomi komuniti, sama ada berkaitan peruncitan atau aktiviti pelancongan dan kelestarian alam sekitar. 

“Negeri ini kaya dengan sumber alam semulajadi dan sosio budaya yang mampu menarik ramai pelancong berkunjung sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.

Beliau berkata pembukaan semula pintu masuk sempadan negara memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan dengan catatan sehingga 1.73 juta ketibaan pelancong pada tahun lalu dan tahun ini dijangka seramai 2.2 juta orang dengan berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion.

“Saya mahu agar koperasi di Sabah memanfaatkan ledakan industri pelancongan, yang mewujudkan pelbagai peluang perniagaan hiliran seperti penginapan, inap desa, pengangkutan, restoran, taman, dan kedai cenderamata,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji juga mengalu-alukan penyertaan 186 belia dari 19 negara Asia Pasifik ke Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (APCYS) di Sabah yang julung kalinya di adakan di Malaysia bermula 27 hingga 30 Julai depan.

  • oleh
  • Advertisement