Anda di sini

Mini HPPK di Kadamaian Square pada 22 September depan: Ewon

Advertisement
 Ewon (tengah) menyampaikan surat pelantikan kepada anggota MPUKPPD bagi Kota Belud.
PELANTIKAN: Ewon (tengah) menyampaikan surat pelantikan kepada anggota MPUKPPD bagi Kota Belud.

KOTA BELUD: Mini Hari Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil (HPPK) Kadamaian buat julung kalinya akan diadakan di Kadamaian Square Taginambur di sini 22 September depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata Mini HPPK itu antara usaha kerajaan menghargai peranan dan sumbangan penjaja dan peniaga kecil-kecilan terutamanya di kawasan luar bandar.

“Antara pengisian sempena sambutan itu ialah pameran dan jualan produk tempatan daripada koperasi, usahawan, penjaja dan peniaga tempahan kecil-kecilan.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan pameran daripada agensi kerajaan, demo produk syarikat tempatan Sabah, food truck dan jualan koperasi Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan,Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) Kota Belud, di Pejabat Daerah Kota Belud di sini.

Mesyuarat dipengerusikan Pegawai Daerah Kota Belud Bakri Nanun.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin, Pengurus TEKUN Sabah Hemin Osumping dan Penolong Pengarah Wilayah Pantai Barat Utara SKM Negeri Sabah Anasty Majus.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berharap agar usahawan di Kadamaian mengambil peluang ini untuk mempromosi, menjual dan memasarkan produk tempatan masing-masing.

Katanya penganjuran Mini HPPK Kadamaian adalah juga usaha membantu golongan penjaja dan peniaga kecil agar terus menjadi antara penyumbang utama kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara.

“Beberapa isu dibincang berkaitan pembangunan keusahawanan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil dalam mesyuarat ini.

“Perkara itu termasuklah isu berkaitan perlesenan, ruang niaga, penguatkuasaan, program bantuan dan penyelarasan dengan pelbagai agensi serta jabatan yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement