Anda di sini

147 pelajar SMK Narinang terima sumbangan danasiswa

Advertisement
 Ewon (tiga kanan) ketika menyampaikan sumbangan berkenaan pada majlis itu.
SERAH: Ewon (tiga kanan) ketika menyampaikan sumbangan berkenaan pada majlis itu.

KOTA BELUD: Seramai 147 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang di sini menerima sumbangan Danasiswa Kecemerlangan Tingkatan 6 berjumlah RM35,860.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, beliau berharap sumbangan itu dapat memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada pelajar berkenaan untuk terus cemerlang dalam pendidikan seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga pada masa akan datang.

“Ini adalah tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat Kadamaian untuk memenuhi keperluan penduduk bukan sahaja dari segi pendidikan tetapi pembangunan sukan, infrastruktur, keusahawanan dan kebajikan.

“Saya memahami kesukaran pelajar terutamanya dari kawasan luar bandar kerana saya sendiri berada dalam situasi yang sama pada zaman sekolah dahulu.

“Sebab itu saya memberikan sumbangan danasiswa kepada semua pelajar Tingkatan 6 di sekolah ini dengan harapan ia dapat meringankan sedikit bebanan kewangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Danasiswa Kecemerlangan Pelajar Tingkatan 6 SMK Narinang, di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu turut mengingatkan para pelajar supaya sentiasa menghormati ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan.

“Kita menghormati ibu bapa kerana mereka telah bertungkus-umus membanting tulang mencari rezeki untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan terbaik. 

“Hormat guru-guru kerana mereka mendidik kita menjadi orang berguna dan juga menghormati rakan-rakan kerana mereka membantu kita,” katanya. 

Beliau berkata, selain memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan, kementerian dan agensi-agensi dibawah kementerian itu juga memberi fokus kepada pembangunan pendidikan, misalnya Yayasan Bank Rakyat.

Selain SMK Narinang, Ewon juga akan menyampaikan sumbangan pembangunan pendidikan kepada semua sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM4,000 untuk membiayai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Narinang.

Sementara itu Pengetua SMK Narinang Soo Yong Huat merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan Danasiswa kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah itu.

“Saya berharap sumbangan ini akan menjadi penyuntik semangat kepada ibu bapa untuk memberi galakan dan sokongan kepada anak-anak terus belajar serta mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

“Kami amat menghargai keprihatinan Ewon membantu sekokah-sekolah di kawasan Kadamaian," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement