Anda di sini

Ahmad Zahid bakal rasmi penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan 

Advertisement
 Para petugas media dan pempengaruh merakam kenangan bersama Suriani (duduk tengah) dan Rozdeen (duduk, empat kiri) selepas sesi taklimat itu.
TAKLIMAT: Para petugas media dan pempengaruh merakam kenangan bersama Suriani (duduk tengah) dan Rozdeen (duduk, empat kiri) selepas sesi taklimat itu.

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan Majlis Penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 (BKK'23) di sini pada 30 Julai ini.

Sempena dengan BKK'23, pelbagai program dilaksanakan termasuk perasmian Hari Koperasi Negara 2023 (HKN'23) yang akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Sabtu ini.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menganjurkan program berkenaan dan dijangka lebih 5,000 pengunjung bakal memeriahkan sambutan acara itu.

Pada majlis penutupan BKK'23, Timbalan Perdana Menteri akan menyampaikan Anugerah Koperasi Terbaik mengikut sektor ekonomi kepada koperasi yang terpilih.

Selain itu, Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2023 (MAGK 23) yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin melibatkan penyampaian dua anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Koperasi Negara 2023 dan Anugerah Koperasi Premier 2023. 

Pengiktirafan itu sebagai tanda apresiasi dan penghargaan kerajaan kepada sektor koperasi yang memainkan penting sebagai penyumbang kepada sosioekonomi negara.

KUSKOP berharap anugerah itu dapat menyuntik semangat serta berkongsi aspirasi kepada seluruh warga koperator untuk mempertingkatkan lagi kualiti produk dan perkhidmatannya dari semasa ke semasa untuk terus cemerlang menyumbang kepada sosioekonomi rakyat Malaysia. 

Pemilihan bulan Julai sebagai acara sambutan BKK bukan sahaja menyorot sejarah pendaftaran koperasi pertama di negara ini, malah ia selaras dengan pengisytiharan hari Sabtu minggu pertama Julai setiap tahun sebagai Hari Koperasi Antarabangsa (International Day of Co-operatives) oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa (International Co-operative Alliance, ICA).

Pihak SKM turut mengadakan sesi taklimat media hari ini sempena dengan program HKN'23 yang disampaikan oleh Pengarah Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi Korporat SKM Rozdeen Mohd Jaafar dan Ketua Komunikasi Korporat KUSKOP Datin Suriani Abdul Rahman.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pemasaran dan Promosi Jabatan Penyiaran Malaysia Kamal Roslim dan Pengarah SKM Cawangan Negeri Sabah Matias Kundapin.
 

  • oleh
  • Advertisement