Anda di sini

Wujudkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah

Advertisement
 Ewon (kiri) dan Jeffrey (tengah) ketika meninjau produk-produk yang dipamerkan dalam majlis berkenaan.
TERBAIK: Ewon (kiri) dan Jeffrey (tengah) ketika meninjau produk-produk yang dipamerkan dalam majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah perlu ditubuhkan bagi menyelaras semua program berkaitan pembangunan usahawan yang dilaksanakan pelbagai kementerian.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, beliau sudah menyatakan perkara itu kepada kepimpinan Sabah untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan supaya hal-hal berkaitan perkhidmatan pembangunan dan pembiayaan dapat diselaraskan.

“Di seluruh negara, terdapat sebanyak 66 agensi dan jabatan berkaitan keusahawanan yang terlibat memberikan perkhidmatan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana  (PMKS) diletakkan di pelbagai Kementerian sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri.

“Daripada 66 agensi yang berkaitan keusahawanan, hanya 10 agensi dibawah kementerian saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Minggu PMKS sempena Minggu Usahawan Negara Zon Sabah, di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Ewon berkata, jawatankuasa itu bakal memudahkan penyaluran pembiayaan dan pelaksanaan program-program pembangunan tanpa berlaku pertindihan

“Kementerian saya telah menyenaraikan pelbagai inisiatif baharu berkaitan pembangunan usahawan dan PMKS di seluruh negara.

“Antara yang telah kita kemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan ialah memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak dari segi program pembiayaan baharu,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, sesi libat urus akan diadakan bersama setiap kementerian berkaitan untuk mendengar pandangan mereka termasuk pandangan daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.

Ewon turut menyarankan semua PMKS berdaftar supaya mendapatkan sijil akuan PMKS dari SME Corp. Malaysia bagi menikmati bantuan bersasar yang diperkenalkan kerajaan.

“Sijil Akuan Status PMKS ini adalah satu perakuan status yang disediakan oleh SME Corp bagi memudahkan PMKS menyertai program atau memohon insentif dan mendapatkan bantuan bersasar. 

“Status ini juga adalah bagi memastikan PMKS memenuhi definisi nasional yang telah ditetapkan oleh kerajaan melalui Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK),” katanya.

Beliau berkata, inisiatif Pendaftaran Status PMKS Malaysia diperkenalkan oleh kementeriannya melalui SME Corp bagi mengesahkan status saiz syarikat atau perniagaan samada perusahaan Mikro, Kecil atau Sederhana.

  • oleh
  • Advertisement