Anda di sini

Sabah rekod jualan RM4.34 juta pada MUN dan Minggu PMKS

Advertisement
 Ewon (tengah) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan ketika di majlis berkenaan.
ALBUM: Ewon (tengah) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan ketika di majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Sabah berjaya mencatatkan sejumlah RM4.34 juta dalam tempoh dua hari program Jualan Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) diadakan di sini.

Jualan berkenaan sekali gus menjadikan jumlah jualan keseluruhan MUN dan PMKS 2023 berjumlah RM82.86 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah berkenaan telah melebihi sasaran jualan dan potensi jualan yang ditetapkan sebanyak RM70 juta di seluruh negara.

"Tahniah kepada semua usahawan dan semua yang terlibat dalam program ini. Tahun ini buat pertama kalinya tema 'Sokong Lokal, Sokong PMKS' dipilih sebagai tema MUN dan Minggu PMKS. 

"Ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan melalui KUSKOP dalam membangunkan usahawan dan koperasi tempatan di Malaysia termasuklah usahawan francais," katanya ketika pada majlis perasmian Penutupan Minggu PMKS Zon Sabah bersempena MUN 2023, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi menarik lebih ramai pengunjung pada tahun ini, lebih banyak aktiviti menarik telah diadakan di seluruh negara melibatkan pelbagai Kementerian, Agensi, Kerajaan Negeri, serta rakan-rakan strategik. 

Katanya, sambutan MUN dan Minggu PMKS telah diadakan di enam zon iaitu Zon Utara (Pulau Pinang), Zon Selatan (Melaka), Zon Pantai Timur (Pahang), serta Zon Sarawak.

Menurutnya, selain bertujuan memupuk budaya keusahawanan, penganjuran MUN dan Minggu PMKS juga bertindak sebagai salah satu platform untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan PMKS. 

"Kerajaan amat    serius melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi mencapai matlamat Negara Keusahawanan Unggul menjelang 2030.

"KUSKOP selaku urusetia Majlis Pembangunan Usahawan PMKS Kebangsaan (MPUPK), sentiasa komited dalam memastikan koordinasi dan penyelarasan antara kementerian dan agensi-agensi berkaitan dapat digembelingkan dengan lebih berkesan agar tiada pertindihan dalam membantu membangunkan usahawan. 

"Bagi memastikan kita sentiasa mengamalkan kaedah semak dan seimbang, kita harus bijak membahagikan tugas.

"Contohnya, terdapat  agensi memiliki punca kuasa undang-undang (akta) yang membolehkan mereka melaksanakan penguatkuasaan. Manakala agensi-agensi lain pula melaksanakan program-program pembangunan usahawan.

"Kerjasama sebegini amat penting bagi memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan yang kukuh di Malaysia," katasnya.

Selain itu katanya, KUSKOP melalui SME Corp. Malaysia telah memperkenalkan inisiatif Pendaftaran Status PMKS Malaysia bagi mengesahkan status saiz syarikat atau perniagaan PMKS.

Menurutnya, Sijil Akuan Status PMKS adalah satu perakuan status yang disediakan oleh SME Corp. Malaysia bagi memudahkan PMKS menyertai program atau memohon insentif dan mendapatkan bantuan bersasar.

"Status ini juga bagi memastikan PMKS memenuhi definisi nasional yang telah ditetapkan oleh kerajaan melalui MPUPK. 

"Justeru itu, saya menyarankan agar semua PMKS berdaftar untuk mendapat sijil akuan PMKS dari SME Corp. Malaysia bagi menikmati bantuan bersasar daripada pihak kerajaan seperti subsidi elektrik yang akan diumumkan kelak," katanya.

Ewon berkata, KUSKOP amat menggalakkan usahawan untuk menerokai pasaran luar bagi mengembangkan lagi perniagaan dan perkhidmatan. 

Menurutnya, berdasarkan kepada statistik, prestasi eksport PMKS meningkat kepada RM124.3 billion pada tahun 2022, berbanding RM117.8 billion pada 2020.

"KUSKOP melalui SME Bank telah memperkenalkan program eksport iaitu Business Export Programme (BEP) yang menyediakan bantuan geran sebanyak RM200,000 kepada usahawan khusus untuk membantu mengembangkan kapasiti serta keupayaan usahawan bagi tujuan eksport ke pasaran luar.

"Besar harapan saya untuk melihat lebih ramai usahawan Sabah dibantu untuk bersaing ke peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan nilai eksport negara dan mempersiapkan para usahawan untuk 'Unlocking Global Potential'," katanya.

Ewon turut menyeru para usahawan Sabah untuk merebut peluang dari pelbagai program pembangunan dan skim bantuan yang ditawarkan. 

Beliau menasihatkan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya sepenuh masa. Kerajaan akan terus memberikan sokongan dalam memastikan supaya keupayaan PMKS dapat ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi, sejajar dengan keperluan semasa, sekali gus melonjakkan Malaysia di mata dunia.
 

  • oleh
  • Advertisement