Anda di sini

Layar Robotic Team cemerlang pada First Lego League Malaysia Challenge 2022/2023

Advertisement
Pasukan bergambar bersama anugerah yang diterima.
Pasukan bergambar bersama anugerah yang diterima.

BETONG: Usaha berpasukan menjadi kekuatan pasukan Layar Robotic Team (LRT) sebelum berjaya merangkul beberapa kategori yang dipertandingkan pada First Lego League Malaysia Challenge 2022/2023 di UOW Malaysia KDU University College di Utropolis Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Kordinator Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC) Dr Keling Stevenson Boniface Ancheh memberitahu, penyertaan pasukan LRT yang dikuatkan dengan lima sekolah memberi motivasi yang sangat kuat dalam pasukan yang dibentuk. 

Jelasnya, pasukan itu dibentuk hasil persetujuan bersama lima sekolah di bawah DUN Layar yang bersepakat membentuk satu pasukan menerusi kelab robotik sekolah masing-masing. 

"Pasukan yang dianggotai 10 pelajar yang masing-masing dua orang daripada MSRM Betong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Kedit Betong, SMK Ulu Layar Betong, SMK St Augustine Betong dan Kolej Vokasional Betong membuahkan hasil positif apabila penyertaan kali pertama telah berjaya menerima anugerah Special Award Rising Star Award pada pertandingan tersebut. 

"Saya benar-benar tertarik dengan pelajar kita yang memiliki disiplin dan motivasi yang tinggi, mempunyai kekuatan tenaga dan kerjasama berpasukan yang hebat namun mereka hanya memerlukan pendedahan yang lebih baik. 

"Pada masa yang sama saya berasa bangga dengan penggunaan bahasa Inggeris yang baik. Kesemua mereka dapat menjawab pertanyaan yang diajukan semasa pengunjung datang di tapak pameran dalam bahasa Inggeris," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditanya berhubung penyertaan dan pencapaian pada First Lego League Malaysia Challenge 2022/2023 yang berlangsung pada 15 dan 16 Julai di Shah Alam, Selangor dan berakhir hari ini.

Tambahnya, pertandingan tersebut disertai sekitar 40 pasukan dari seluruh Malaysia yang menghantar pasukan untuk memenangi anugerah yang dipertandingkan di mana pemenang dinilai berdasarkan Nilai Teras, Reka Bentuk Robot, Permainan Robot dan Projek Inovasi.

"Apa yang penting kerjasama ini telah membuahkan hasil apabila kita berjaya membawa pulang anugerah yang dimenangi," ujarnya. 

Terdahulu LEDC mempertaruhkan perbelanjaan yang besar bagi memberi pendedahan kepada pelajar yang berminat dalam kelab robotik di sekolah masing-masing ke pertandingan tersebut sekali gus mewakili Sarawak. 

Advertisement