Anda di sini

Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 bantu 20 usahawan pelajar asnaf UMS

Advertisement

KOTA KINABALU: Program Universiti Malaysia Sabah (UMS) Bank Rakyat UNIpreneur 3.0: Kick-Off Event yang diadakan oleh Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) UMS di Pusat Islam UMS beri suntikan dana sebanyak RM3,000 seorang kepada usahawan siswa asnaf UMS.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata dana terbabit adalah untuk mengembangkan perniagaan selain memberi latihan dan bimbingan keusahawanan kepada usahawan siswa asnaf untuk menguruskan perniagaan dalam tempoh enam bulan.

“Seramai 20 usahawan siswa asnaf yang terdiri daripada pelajar Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Perhutanan dan Tropika, Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan terpilih bagi program ini,” katanya semasa berucap pada program tersebut.

Turut hadir Pengarah Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah Dr. Arif@Kamisan Pusiran, Timbalan Pengarah (Keusahawanan) PKPKP UMS Dr. Nur Thara Atikah Zainal, Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kota Kinabalu Suhaimi Jainulah dan Pengurus Kelestarian Bank Rakyat Azahary Kamarulzaman.

Menurutnya 10 mentor juga dilantik daripada kalangan pensyarah dan kakitangan UMS untuk membimbing dan memantau peserta program ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan pada Bank Rakyat dengan sumbangan dan sokongan kepada UMS, terutamanya suntikan dana sebanyak RM66,000 untuk membantu usahawan pelajar asnaf mengembangkan perniagaan dan mengikuti latihan serta bimbingan ini.

“Diharapkan 20 usahawan pelajar ini akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk menceburi bidang ini sebagai pilihan kerjaya dan mampu memberi peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” katanya.

Bank Rakyat UNIpreneur adalah inisiatif kewangan sosial Bank Rakyat yang menyasarkan pembangunan ekosistem usahawan mahasiswa asnaf berpotensi di Malaysia. 

Program selama enam bulan pada tahun ini akan memberi manfaat kepada 500 peserta daripada 20 institut pengajian tinggi terpilih.

 Suhaimi menyerahkan replika cek program Bank Rakyat UNIpreneur kepada Raman.
SERAH: Suhaimi menyerahkan replika cek program Bank Rakyat UNIpreneur kepada Raman.
 Peserta program Bank Rakyat UNIpreneur menerangkan maklumat produk.
PRODUK: Peserta program Bank Rakyat UNIpreneur menerangkan maklumat produk.
 Peserta program Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 UMS merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan semasa Kick-Off Event di Pusat Islam, UMS.
KENANGAN: Peserta program Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 UMS merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan semasa Kick-Off Event di Pusat Islam, UMS.
  • oleh
  • Advertisement