Anda di sini

Koperasi sektor perumahan catat perolehan RM128 juta 

Advertisement
 Ewon (tengah) bersama tetamu jemputan lain melancarkan simbolik majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul.
PECAH TANAH: Ewon (tengah) bersama tetamu jemputan lain melancarkan simbolik majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul.

KOTA KINABALU: Koperasi sektor perumahan di seluruh negara mencatatkan perolehan sebanyak RM128 juta tahun lalu melibatkan sebanyak 308 koperasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah satu pencapaian membanggakan khususnya peranan penting yang dimainkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan dalam membangunkan Gerakan Koperasi di Malaysia secara holistik.
 
Beliau berharap, kontraktor yang terpilih dapat melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan. 

"Pemantauan secara berkala oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)juga penting untuk memastikan kemajuan dan kualiti kerja projek ini berada dalam kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul milik Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad (KPSPB) di Kuala Lumpur hari ini.

Projek berkenaan adalah usahasama antara KPSPB selaku pemilik tanah dan pemaju projek Menarez Development Sdn. Bhd.

Menurutnya, melalui usahasama itu, Menarez Development Sdn. Bhd akan membangunkan sebuah blok 29 tingkat Residensi Wilayah dengan 322 unit kediaman pada harga RM300,000.

Katanya, projek yang dianggarkan bernilai RM120 juta itu selari dengan objektif penubuhan KPSPB untuk menyediakan kemudahan rumah mampu milik kepada penduduk sekitar Kuala Lumpur termasuk anggota koperasi.

Ewon berkata, sehingga Disember 2022, secara keseluruhannya sektor koperasi di seluruh negara mencatat perolehan sebanyak RM45.50 bilion dengan jumlah keseluruhan anggotanya seramai 7.3 juta orang. 

Beliau berkata, perolehan itu disumbangkan oleh sebanyak 15,315 koperasi yang menjalankan pelbagai bidang ekonomi antaranya kredit, pembinaan, perumahan, pengangkutan, pengguna, perindustrian, perkhidmatan dan pertanian.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar; Pengerusi Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad Abdul Hakim Abdul Wahab; Pengarah Urusan Menara Rezeki Sdn.Bhd Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff; dan  Pengarah Urusan Menarez Development Sdn. Bhd Bryan Lee Lun Teong.
 

Advertisement