Anda di sini

Peralihan komoditi getah kepada sawit mampu tingkat pendapatan peneroka

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kesediaan kerajaan mempertimbangkan langkah drastik membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain seperti kelapa sawit boleh memberi sinar baharu dalam meningkatkan pendapatan golongan itu pada masa hadapan.

Seorang peneroka generasi kedua Felda Chuping, Perlis, Rosmadi Setu, 55, berkata harga lantai getah yang tidak stabil jatuh ke paras RM2.70 sekilogram pada masa ini menyebabkannya terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menampung kos perbelanjaan harian.

"Buat sementara waktu saya bekerja sebagai pemandu traktor dan tidak lagi menoreh getah, jumlah pendapatan bersih sebagai penoreh getah hanya sekitar RM100 sebulan dan tidak cukup untuk menampung kos membesarkan empat orang anak.

“Alhamdulillah perkara ini amat dinanti-nantikan oleh semua peneroka dan saya dapat kembali ke kebun selepas ini,” katanya kepada Bernama.

Turut berkongsi pendapat sama, Musa Mat, 75, yang merupakan generasi pertama peneroka Felda Chuping berkata tanaman sawit lebih menguntungkan kerana hasil tanaman getah terlalu rendah berbanding kos operasi seperti upah meracun, membaja dan upah menoreh yang tinggi. 

"Apabila hujan, peneroka tidak boleh menoreh berbanding hasil sawit boleh dituai tanpa mengira faktor cuaca,” katanya yang memiliki enam anak.

Bagi Ahmad Pin, 70, walaupun lebih selesa sebagai penoreh getah kerana dapat mengusahakan kebun sendiri tanpa perlu mengupah orang lain, beliau akur untuk beralih kepada tanaman sawit jika semua peneroka setuju.

“Dengan kudrat yang ada sekarang, saya tidak mampu untuk uruskan tanaman sawit seorang diri dan terpaksa mengupah pekerja. Tukar kepada tanaman sawit pun bagus kerana ia membuka peluang pekerjaan dan menarik minat anak muda kembali ke kebun,” katanya.

Sementara itu, di JOHOR, Ketua Peneroka Felda Lok Heng Selatan, Muhammad Bakar pula berkata usaha kerajaan membantu peneroka getah beralih kepada komoditi getah akan membantu lebih ramai penoreh keluar daripada garis kemiskinan sekali gus meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Muhammad berkata sudah lama peneroka getah berhasrat beralih kepada tanaman lain khususnya sawit memandangkan harga buah tandan segar sawit ketika ini antara RM700 ke RM800 satu metrik tan berbanding harga lantai getah RM2.70 sekilogram. 

"Usaha ini sangat baik kerana harga komoditi getah tidak stabil seperti sawit dan pendapatan peneroka getah agak merosot. Sebelum ini memang ada banyak permohonan daripada peneroka untuk beralih kepada tanaman lain tidak semestinya sawit, maksudnya apa yang lebih menguntungkan mereka.

"Faktor lain ialah penggunaan tenaga kerja di kebun getah, kos upah terlalu tinggi berbanding sawit, malah harga input perladangan untuk getah seperti baja pun mahal ketika ini dan jika hari hujan terpaksalah menggantung ‘pisau’," katanya yang dihubungi.

Muhammad berkata penjagaan tanaman sawit juga lebih mudah berbanding getah, selain ketahanan pokok boleh mencecah hingga usia 25 tahun sebelum melalui proses tanaman semula berbanding getah hanya sekitar lima hingga enam tahun kerana kebanyakan akan menghadapi masalah sakit seperti daun gugur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan beberapa inisiatif dan insentif bagi meningkatkan kualiti hidup dan memelihara kebajikan peneroka Felda termasuk mempertimbangkan usaha drastik membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komiditi lain seperti sawit, kelapa atau yang bersesuaian tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri masing-masing. - BERNAMA
 

Advertisement