Anda di sini

Institusi TVET perlu mengikuti perubahan era digital

Advertisement

Ia seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat ketika ini, sedia individu untuk pasaran kerja

Dr Annuar menerima cenderamata daripada Hisamudin (tengah) pada Majlis Perasmian Persidangan TECHON 2023 semalam. Gambar Muhd Rais Sanusi
Dr Annuar menerima cenderamata daripada Hisamudin (tengah) pada Majlis Perasmian Persidangan TECHON 2023 semalam. Gambar Muhd Rais Sanusi

“Teknologi terus maju dengan pantas dan oleh sebab itu, institusi TVET harus menyesuaikan diri untuk bersaing dengan perubahan permintaan era digital yang kian berkembang pesat.” 

Datuk Roland Sagah Wee Inn
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat 

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu mengikuti perubahan era digital seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat ketika ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, ia memainkan peranan penting dalam menyediakan individu untuk pasaran kerja.

“Teknologi terus maju dengan pantas dan oleh sebab itu, institusi TVET harus menyesuaikan diri untuk bersaing dengan perubahan permintaan era digital yang kian berkembang pesat.

“Usaha ini bukan sahaja dapat membantu institusi terbabit meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran serta merapatkan jurang dalam akses kepada pendidikan malah mampu menyediakan pelajar untuk pekerjaan digital pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee pada Majlis Perasmian Persidangan Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (TECHON) 2023 di sini, hari ini.

Menurut Sagah, salah satu kelebihan utama transformasi digital dalam TVET ialah keupayaan untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang fleksibel.

“Dengan bantuan platform digital dan sumber dalam talian, pelajar boleh mengakses bahan pendidikan pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.

Malah tambahnya, transformasi digital dalam TVET mampu memupuk kerjasama dan ketersambungan kerana dapat menjadi platform dan rangkaian sosial untuk menyediakan pelajar berhubung dengan pakar profesional industri, mentor dan rakan-rakan lain.

"Ini sudah tentu akan memudahkan pertukaran pengetahuan dan rangkaian, mendedahkan pelajar kepada cabaran dunia sebenar, trend industri serta penyelesaian inovatif,” katanya.

Difahamkan, seramai 394 peserta dalam dan luar negara termasuk Indonesia dan Maghribi menyertai persidangan yang bertemakan ‘Memperkasakan TVET Ke Arah Mempercepatkan Transformasi Digital’.

Persidangan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Politeknik Mukah Sarawak (PMS) dan Politeknik Negeri Nunukan, Indonesia itu berlangsung selama dua hari iaitu pada 12 dan 13 Julai ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Pengarah PMS Hisamudin Mohd Tamim, Pengarah Politeknik Negeri Nunukan, Indonesia merangkap Penaung TECHON 2023 Dr Arkas Viddy dan tetamu kehormat lain.
 

Advertisement