Anda di sini

Jepun jangka hujan paling lebat di barat daya

Advertisement
Gambar serahan pejabat kerajaan tempatan Kota Karatsu semalam menunjukkan keadaan tanah runtuh di bandar tersebut selepas hujan lebat melanda sebahagian besar Pulau Kyushu. - Gambar AFP
Gambar serahan pejabat kerajaan tempatan Kota Karatsu semalam menunjukkan keadaan tanah runtuh di bandar tersebut selepas hujan lebat melanda sebahagian besar Pulau Kyushu. - Gambar AFP

TOKYO: Seorang terbunuh dan tiga lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh di barat daya Jepun, menurut pihak berkuasa semalam, ketika agensi kaji cuaca negara memberikan amaran mengenai penurunan hujan paling lebat pernah berlaku di wilayah ini.

Seorang wanita berusia 77 tahun disahkan maut setelah tanah runtuh menimbus rumahnya semalaman di luar bandar Fukuoka, jabatan bomba tempatan memberitahu AFP.

Suami mangsa bagaimanapun ditemui dalam keadaan sedar dan dibawa ke hospital.

Tiga orang turut hilang selepas satu kejadian tanah runtuh di Kota Karatsu, wilayah Saga yang berhampiran dengan Fukuoka, menurut pihak berkuasa tempatan.

Agensi Meteorologi Jepun menggesa orang ramai agar berlindung ketika hujan lebat berisiko mencetuskan banjir dan tanah runtuh di sekitar wilayah Fukuoka dan Oita.

"Satu amaran khas hujan lebat telah dikeluarkan bagi beberapa pekan kecil di wilayah Fukuoka.

"Ini adalah hujan paling lebat pernah dialami oleh wilayah itu," Satoshi Sugimoto dari divisyen ramalan JMA memberitahu wartawan.

“Terdapat kemungkinan yang sangat tinggi bahawa beberapa jenis bencana telah berlaku.

"Situasinya nyawa berada dalam bahaya dan keselamatan harus diawasi,” tambah beliau.

Arahan pemindahan tidak wajib telah dikeluarkan bagi beberapa bahagian di Fukuoka, Oita dan daerah berhampiran, yang telah membuka pusat perlindungan sementara bagi menempatkan mereka yang meninggalkan kediaman mereka.

Pejabat perdana menteri menyatakan pasukan petugas khas telah dibentuk bagi menguruskan respons terhadap bencana tersebut.

Penurunan hujan memaksa perkhidmatan kereta api peluru di antara barat Hiroshima dan Fukuoka dihentikan, menurut operator JR West.

Jepun sekarang dalam musim hujan tahunannya yang selalunya membawa penurunan hujan lebat dan kadangkala mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, termasuk kematian.

Para saintis menyatakan perubahan iklim telah meningkatkan risiko hujan lebat di Jepun dan tempat-tempat lain, kerana atmosfera yang lebih hangat menyimpan lebih banyak air.

Pada 2021, hujan telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh teruk di pekan pengainginan tengah Atami yang mengorbankan 27 nyawa.

Selain itu pada 2018, banjir dan tanah runtuh ketika musim hujan telah mengorbankan lebih 200 orang di barat Jepun. – AFP
 

Advertisement