Anda di sini

Lebih RM14 juta bantuan sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023

Advertisement
 Ewon (dua kiri) menyampaikan replika Geran Bantuan Pembangunan Koperasi kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Wan Rosdy (tiga kiri) pada majlis itu.
BANTUAN: Ewon (dua kiri) menyampaikan replika Geran Bantuan Pembangunan Koperasi kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Wan Rosdy (tiga kiri) pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Sempena Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 (BKK’23), lebih RM14 juta Pinjaman Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) dan geran bantuan pembangunan disampaikan kepada 10 koperasi dari Zon Timur.

Ia melibatkan lima koperasi menerima TMPSKM bernilai RM13,930,000, dan lima koperasi lagi menerima geran bantuan pembangunan bernilai RM645,000.

Bantuan berkenaan meliputi bantuan Koperasi Prihatin Rakyat, SCOPE, EFast dan Transfer yang menjalankan aktiviti kredit dan pembelian bangunan.

Majlis pelancaran BKK'23 dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan Pahang hari ini. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam ucapannya berkata, dalam usaha kerajaan memacu sektor koperasi di negara ini, kementeriannya akan melancarkan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030).

Katanya, DaKoM  bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan Dasar Koperasi Negara 2011-2020. 

"DaKoM 2030 akan memacu sektor koperasi sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia dengan matlamat mewujudkan ekosistem koperasi yang holistik dan kondusif.

"Ia juga bakal melonjakkan keupayaan dan kemampuan sektor koperasi sebagai penyumbang utama sosioekonomi negara," katanya.

Selain itu beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan ANGKASA pada majlis itu melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 untuk gerakan koperasi.

Menurutnya, pelan berkenaan akan menggariskan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan koperasi dalam menjalankan perniagaan berasaskan teknologi.

Pihaknya yakin dengan adanya pelan berkenaan, ia mampu membawa perubahan dan mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan.

"Pada masa ini, negara kita berada dalam fasa proses pemulihan akibat pandemik COVID-19 dan pandemik turut menyedarkan kita betapa pentingnya ekosistem digital untuk mencegah kejatuhan perniagaan seterusnya ekonomi negara. 

"Sehubungan itu, koperasi perlu beralih daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk, perkhidmatan koperasi, memodenkan operasi serta pentadbiran koperasi melalui teknologi canggih dan sistem digital," jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau berharap pelancaran BKK23 dapat memberi pendedahan kepada masyarakat Malaysia dan berjaya menarik minat rakyat Pahang terutamanya golongan profesional dan belia untuk menjadikan koperasi sebagai gaya hidup.

Katanya, gerakan koperasi sememangnya memerlukan tenaga muda dan idea yang baharu agar dapat berkembang dinamik dan kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara.
 

  • oleh
  • Advertisement