Anda di sini

Inisiatif KEPB bangunkan PEA harus dipuji: Ewon

Advertisement
 Ewon (empat kiri) ketika hadir merasmikan PEA di Kuantan, Pahang.
RASMI: Ewon (empat kiri) ketika hadir merasmikan PEA di Kuantan, Pahang.

KOTA KINABALU: Inisiatif Koperasi Esports Pahang Berhad (KEPB) membangunkan Akademi Esport Pahang (PEA) bagi mencungkil bakat atlet e-sport di negara ini perlu diberikan sokongan semua pihak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, akademi itu bertujuan memberi didikan kepada atlet supaya mereka lebih berjaya dalam bidang tersebut.

Katanya, kesungguhan dan keberanian usahawan muda menubuhkan koperasi tersebut harus dipuji serta menjadi contoh kepada belia yang lain.

“Gerakan koperasi sememangnya memerlukan tenaga muda dan idea yang baharu agar dapat berkembang dinamik serta kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan pelbagai pembiayaan untuk semua koperasi termasuk industri e-sport,” katanya.

Beliau demikian ketika merasmikan PEA, akademi esport pertama di Pantai Timur milik Koperasi Esports Pahang Berhad, di Kuantan, Pahang, semalam.

Selain itu, katanya, kementerian lain juga mempunyai dana yang boleh membantu membangunkan industri e-sport di Malaysia, seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Sementara itu, Pengerusi KEPB Amirul Shafiq berkata, koperasi itu ditubuhkan untuk memberi didikan berkaitan koperasi, perniagaan dan e-sport kepada golongan belia.

“KEPB menjalankan perniagaan berkaitan pengurusan program, penyewaan peralatan, penyediaan bengkel, seminar, kursus dan kem motivasi berkaitan sukan.

“Kami juga memberikan pandangan positif terhadap orang awam tentang industri e-sport, di mana industri ini mampu menjana sumber pendapatan dalam era moden,” katanya.

Amirul berkata, antara objektifnya adalah menyediakan dan mentadbir industri e-sport melalui sistem pengurusan berkualiti dan inovatif selari dengan arus permodenan.

Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh; Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Rusli Jaafar dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Ali Mansor.

  • oleh
  • Advertisement