Anda di sini

KUSKOP bangun Pelan Pemformalan Usahawan Informal

Advertisement
 Ewon (kanan) bersama Ahmad Zahid ketika hadir dalam majlis pelancaran tersebut.
HADIR: Ewon (kanan) bersama Ahmad Zahid ketika hadir dalam majlis pelancaran tersebut.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membangunkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal bagi memudahcara peralihan usahawan informal kepada perniagaan berdaftar.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, melalui pelaksanaan program itu, ekosistem keusahawanan sedia ada dapat diperkasakan dan menggalakkan pendaftaran perniagaan secara sukarela.

Katanya, ia juga dapat memupuk minda keusahawanan dan potensi pembangunan usahawan informal agar melibatkan diri secara serius dalam bidang perniagaan.

“Pelan ini menyediakan langkah intervensi bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan informal dalam memformalkan perniagaan melalui pendekatan proaktif secara berstruktur.

“Selain itu, ia menggalakkan usahawan informal mendaftarkan perniagaan secara sukarela sekali gus mendidik mereka lebih beretika dan berintegriti tinggi dalam melaksanakan operasi perniagaan,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata demikian ketika melancarkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal KUSKOP di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, transformasi usahawan informal membolehkan mereka mendapat peluang dan akses yang lebih terbuka dalam pengembangan perniagaan serta mampu menyumbang secara lebih efektif kepada pembangunan ekonomi negara.

Katanya, pelan ini diharap dapat memberi panduan yang jelas kepada semua pihak berkepentingan dalam usaha memformalkan perniagaan dengan lebih telus dan efisien.

“Kita melihat ia berupaya melonjakkan kembali prestasi perniagaan pasca pandemik COVID-19 dan secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Saya yakin bahawa pelaksanaan pelan ini akan menjadikan pendaftaran perniagaan sebagai norma dalam kalangan usahawan,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata, KUSKOP komited dengan mandat yang diamanahkan menerajui hala tuju pembangunan keusahawanan negara ini melalui pelaksanaan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).

“Kita mahu memastikan keusahawanan menjadi salah satu agenda utama dalam pembangunan sosio-ekonomi Malaysia,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement