Anda di sini

Kesihatan mental merosot, menyumbang kepada penyakit fizikal

Advertisement
 

PERNAHKAH anda sering berasa lesu walaupun tidak melakukan pekerjaan berat? Sekiranya keadaan ini berlarutan selama dua minggu, anda harus mula menitikberatkan kesihatan mental anda.

Kesihatan mental bukanlah isu yang baharu di negara kita, sebaliknya situasi ini juga sering berlaku di negara maju seperti Jepun, Korea Selatan bahkan di serata dunia.

Bagaimanapun, isu kesihatan mental di negara kita masih dipandang tabu oleh sesetengah masyarakat. 

Akibat daripada stigma ini, tidak ramai yang berani untuk tampil ke hadapan untuk mendapatkan rawatan daripada pakar kerana risau dianggap tidak waras, tidak memiliki pegangan agama yang kuat dan bermasalah.

Namun apakah kita sedar, sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan timbul masalah kesihatan fizikal yang lain?.

Menurut buku yang pernah diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berjudul Kesihatan Mental dan Kesihatan Fizikal (2012), sekiranya kesihatan mental seseorang terjejas, ia boleh menyumbang kepada kemerosotan kesihatan fizikal individu berkenaan.

KKM merujuk kesihatan mental adalah situasi seseorang menyedari keupayaannya boleh berdaya tindak terhadap tekanan hidup, mampu bekerja dengan produktif dan boleh menyumbang kepada masyarakat.

Selain itu, ia merangkumi cara seseorang berfikir, bertindak, merasa, cara menghadapi dan mengatasi masalah serta berinteraksi dengan orang sekeliling.

Ada banyak faktor yang mempengaruhi seseorang mengalami masalah ini, seterusnya membawa kepada kemurungan, kebimbangan, kecelaruan panik, kecelaruan kompulsif dan gangguan tidur.

Semua yang dinyatakan di atas membawa kepada gangguan kualiti hidup seseorang, baik dalam produktiviti pekerjaan, kestabilan emosi dan seterusnya kesihatan fizikal yang berkait rapat dengan penyakit jantung, darah tinggi serta obesiti.

Kemurungan boleh memburukkan lagi keadaan pesakit yang mengalami penyakit jantung. 

Menurut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh KKM, satu daripada dua orang pesakit jantung akan mengalami kemurungan. Serangan penyakit jantung akan menambah keseriusan kemurungan dan akan meningkatkan risiko kematian. 

Tanda-tanda yang nyata akibat kemurungan, jantung berdenyut laju, tekanan darah tinggi, darah menjadi lebih pekat dan tahap tekanan hormon meningkat.

Oleh itu, bagaimana kita dapat membantu diri sendiri dan orang lain? Salah satu cara yang boleh membantu adalah dengan mendapatkan nasihat pakar. Anda boleh mempercayai pakar untuk merawat anda dan akan diberikan kaunseling khas untuk membantu menjalani hidup yang lebih baik.

Berkongsilah kebimbangan anda dengan orang yang dipercayai dan dikasihi. Selepas menyuarakan perasaan anda, anda  akan merasa lega kerana tidak bersendirian. Kumpulan sokongan seperti ini sangat penting kerana mampu memberikan motivasi.

Selain itu, ada beberapa cara lain seperti mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam, memakan makanan yang seimbang, beriadah dan melakukan aktiviti keagamaan.

Jangan biarkan kesihatan mental anda terjejas dan tidak perlu segan untuk mendapatkan nasihat dan pertolongan. Hal ini kerana, masyarakat hidup dalam keadaan persekitaran yang mencabar serta persaingan ada di mana-mana.  

Apa yang penting adalah belajar untuk bersyukur, menerima segala kekurangan diri, mengasihi diri dan menjaga kesihatan mental serta fizikal. Baharu sesudah itu kita dapat membantu orang lain.

Advertisement