Anda di sini

Cadangan pembangunan industri angkasa di Sabah ditandatangani

Advertisement
 Hajiji (duduk tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU ketika di majlis berkenaan.
SAKSIKAN: Hajiji (duduk tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU ketika di majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Memorandum Persefahaman (MoU) Kajian Kebolehlaksanaan Cadangan Pembangunan Industri Angkasa di Sabah, ditandatangani di sini, kelmarin.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani MoU itu sempena perasmian Majlis Anugerah Sains Sabah (MASS) 2023 di sini pada Jumaat.

Majlis MoU itu ditandatangani antara tiga pihak iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang diwakili oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Zainudin Aman.

Manakala, Sovereign Sengalang Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Timbalan Pengerusinya, Mohd Ezra Effendi dan Yuzhnoye State Design Office diwakili Denys MyKhailiuk, (Charge d' Affaires ad interim, Embassy of Ukraine).

Hajiji berkata, sekiranya kajian itu membawa indikasi positif, Sabah bakal membina 'space launching facility' atau kemudahan pelancaran angkasa lepas yang ke-16 di dunia.

“Ini sekali gus akan meletakkan nama Malaysia menjadi negara ke-sembilan yang memiliki fasiliti sedemikian, seterusnya bakal melonjakkan Sabah menjadi negeri ulung serta berpotensi dalam konteks pemindahan ilmu dan teknologi aeroangkasa aras tinggi di Malaysia.

“Justeru, MoU Kajian Kebolehlaksanaan Cadangan Pembangunan Industri Angkasa di Sabah adalah tepat pada masanya, untuk melihat kesesuaian pembinaan Pusat Industri Pelancaran Angkasa Lepas Antarabangsa Sabah di lokasi yang akan ditentukan kelak.

“Pembinaan pusat industri pelancaran itu juga akan dapat memacu pertumbuhan antara 300 sehingga 500 syarikat hiliran dalam industri aeroangkasa seperti pembinaan, electronik dan logistik. 

"Selain itu, ia membuka lebih 90 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan secara keseluruhannya serta limpahan dan kemakmuran ekonomi di Sabah,” katanya.

Katanya, kedudukan Sabah adalah sangat strategik dan berada di garis lurus maksimum (Maximum Straight Linear Velocity) yang secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pelancaran kenderaan angkasa akan terus ke ruang angkasa antarabangsa tanpa melalui ruang angkasa Indonesia.

“Selain itu, dapat melonjakkan pencapaian negeri dalam bidang STIE (Sains Teknologi, Inovasi dan Ekonomi), merangsang minat belia dalam sektor aeroangkasa, pembinaan fasiliti pelancaran kenderaan angkasa komersil Cyclone, akan menjadi pemangkin baharu sektor pelancongan negeri,” katanya.

Katanya, usaha itu juga memberi pulangan dengan anggaran 20 peratus daripada hasil setiap pelancaran kenderaan angkasa yang dianggarkan mencecah RM200 juta setahun.

Beliau berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan masih di peringkat awal pelaksanaannya dan mengambil masa selama enam sehingga 12 bulan.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada persetujuan lanjut Kabinet Negeri dan selanjutnya Kabinet Persekutuan,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement