Anda di sini

Lelaki mengaku menyamar sebagai anggota polis dipenjara tiga bulan

Advertisement
Tertuduh (kiri, hadapan) diiringi pihak penjara keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman, hari ini. 
Tertuduh (kiri, hadapan) diiringi pihak penjara keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhkan hukuman, hari ini. 

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis pada Mei lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Salidan Mohamad, 40, untuk dikuatkuasakan mulai hari ini. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Mei lalu sekitar jam 10 malam di sebuah tempat letak kereta berhadapan sebuah kedai makan di BDC, di sini. 

Fakta kes mendedahkan semasa mangsa lelaki berusia 21 tahun (pengadu) berada di dalam keretanya di tempat kejadian, dia didatangi beberapa lelaki termasuk tertuduh yang menyatakan dirinya anggota polis.

Tertuduh juga mengugut hendak menghantar pengadu ke balai polis.

Selain itu, tertuduh dilaporkan meminta wang daripada pengadu, namun pengadu memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai wang. 

Susulan itu, tertuduh beredar dari tempat kejadian menggunakan kereta pengadu, selain membawa lari sebuah telefon bimbit, kad pengenalan dan kad bank milik pengadu.

Tertuduh ditangkap pada 30 Mei lalu selepas laporan polis dibuat dan hasil siasatan mendapati pengadu mengenali muka tertuduh serta menyatakan dia turun dari kereta kerana takut dipukul tertuduh dan dua rakan sejenayah lain yang masih bebas.

Sementara itu, tertuduh mengaku tidak bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen hari ini kerana melakukan rompakan berkumpulan terhadap pengadu dalam kejadian sama. 

Hakim Afidah Abdul Rahman menetapkan pengurusan kes pada 2 Ogos 2023 dan membenarkan tertuduh diberi ikat jamin RM10,000 tunai berserta dua penjamin tempatan.

Mahkamah dalam pada itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iezzah Iburdanisha Ibrahim bahawa tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara enam bulan dan didenda RM6,000 atau empat bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Samarahan pada 7 Jun 2023 mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan. 

Pendakwaan di Mahkamah Majistret dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

  • oleh
  • Advertisement