Anda di sini

Kelulusan tanah antara proses terawal perlu dilalui para pelabur dan peniaga

Advertisement
Antara wakil agensi kerajaan yang terlibat dalam Projek Penandaarasan Urusan Permohonan Kelulusan Tanah di Malaysia yang diadakan baru-baru ini.
Antara wakil agensi kerajaan yang terlibat dalam Projek Penandaarasan Urusan Permohonan Kelulusan Tanah di Malaysia yang diadakan baru-baru ini.

KUCHING: Kelulusan tanah merupakan antara proses yang terawal yang perlu dilalui oleh para pelabur dan peniaga sebelum dapat membangunkan sesebuah perusahaan di sesuatu kawasan dan negeri.

Sehingga kini, tiada sebarang dokumen penandaarasan yang komprehensif dilaksanakan untuk mengumpul data dan maklumat berkaitan proses permohonan tanah.

Justeru, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui kolaboratif strategik bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) telah bersetuju melaksanakan inisiatif pengukuran proses permohonan tanah semasa (AS-IS) di Semenanjung, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sempena inisiatif ini, telah dilaksanakan Projek Penandaarasan Urusan Permohonan Kelulusan Tanah di Malaysia bagi negeri Sarawak di sebuah hotel di sini pada 21 dan 22 Jun 2022.

Majlis dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) Datu Abdullah Julaihi  Pengarah MPC Sarawak Dr Mazlina Shafi’i  serta pegawai-pegawai kanan JTS dan MPC.

Projek ini melambangkan kerjasama erat antara agensi persekutuan dan negeri dalam melestarikan pembangunan ekonomi negeri yang berimpak tinggi.

Dr Mazlina berkata: “Objektif projek ini diadakan adalah untuk menanda aras proses permohonan kelulusan tanah di Malaysia yang merangkumi perkara-perkara seperti prosedur permohonan, tempoh masa memproses pembayaran, kos yang dibayar oleh pemohon kepada pihak kerajaan, kualiti peraturan dan penguatkuasaan, amalan terbaik serta cadangan-cadangan yang boleh digunakan sebagai langkah ke arah penambaikan yang berterusan.”

Beliau menambah: “Saya berharap dengan adanya program sebegini akan memberi manfaat kepada Kerajaan Sarawak khasnya dalam memudahkan persekitaran perniagaan agar dapat menarik minat pelabur serta para pengusaha dalam membangunkan ekonomi Sarawak dan mempercepatkan pembangunan fizikal dan ekonomi agar tahap produktiviti dan KDNK Sarawak dapat ditingkatkan.”

Pelaksanaan inisiatif itu akan membolehkan satu laporan tanda aras bagi proses permohonan tanah setiap negeri diperolehi dan seterusnya dapat meningkatkan produktiviti sektor awam. 

Melalui laporan ini juga, pembaharuan dan penambahbaikan dapat diwujudkan dengan adanya tanda aras kawasan atau negeri lain yang boleh dijadikan amalan terbaik dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif seiring dengan kemajuan ekonomi global. 

Selain itu, dua kajian kes akan dijalankan dalam masa terdekat bagi memberi gambaran yang lebih jelas mengenai perbandingan antara negeri dalam aspek prosedur, masa, kos dan kualiti peraturan.

Advertisement