Anda di sini

Bekas polis didenda kerana menyamar sebagai polis

Advertisement
 

KUCHING: Seorang bekas anggota polis didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyamar sebagai anggota polis.
 
Majistret Zaiton Anuar mesabitkan kesalahan Asri Gapar, 30, yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
 
Seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
 
Asri melakukan kesalahan itu di Taman Wira Jaya di Bukit Siol di sini sekitar jam 7.30 pagi pada 16 April 2023.
 
Berdasarkan fakta kes, seorang lelaki berusia 27 tahun yang merupakan pengadu, didatangi Asri yang kemudian menunjukkan kad Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Asri juga mahu membawa pengadu ke Balai Polis Gita kerana kesalahan mengubah suai ekzos motosikalnya.
 
Pengadu bagaimanapun menghubungi sepupunya sebelum pergi ke balai polis bersama Asri untuk siasatan lanjut.
 
Siasatan lanjut bagaimanapun mendapati Asri telah menyamar sebagai anggota polis kerana dia telah berhenti daripada perkhidmatannya sebagai anggota polis.
 
Difahamkan juga dia berhenti daripada berkhidmat sebagai anggota polis kerana masalah kesihatan mental.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala Asri tidak diwakili peguam.

Advertisement