Anda di sini

PMKS Zon Sarawak anjur Dapur Sarawak 

Advertisement
Poster acara Bengkel TikTok Shop pada 23 Jun ini.
Poster acara Bengkel TikTok Shop pada 23 Jun ini.

MIRI: Program Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Sarawak bakal menganjurkan acara Dapur Sarawak sebagai salah satu acara utamanya di Coco Cabana di sini bermula 21 hingga 25 Jun ini, mulai jam 9 pagi. 

Acara yang mengetengah dan mempromosikan produk makanan dan minuman dihasilkan pengusaha PMKS Sarawak ini berakhir jam 9 malam bermula Isnin hingga Khamis manakala pada hari terakhir, Jumaat berakhir jam 2 petang.

Dapur Sarawak ini bakal menempatkan 30 gerai jualan disertai 24 pengusaha makanan dan enam pengusaha minuman. 

Pelbagai makanan tempatan Sarawak seperti laksa Sarawak, mi kolok, kelupis, kuih tradisional malah buah-buahan tempatan dijual di Dapur Sarawak. 

Dapur Sarawak dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) Miri, Jabatan Pertanian Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Sempena program Minggu PMKS Zon Sarawak di Miri ini, penganjur turut mengadakan Bengkel TikTok Shop dibawakan khas kepada usahawan-usahawan Miri pada 23 Jun bermula jam 8.30 hingga 10 pagi. 

Bengkel ini dikendalikan jurulatih berkemahiran dari Ibu Pejabat TikTok untuk berkongsi dengan anda tentang 'TikTok Shop', manfaatnya kepada peniaga serta jenis-jenis 'tools' dan 'features' terdapat dalam 'TikTok Shop' untuk meningkatkan jualan. 

Bengkel ini juga bersertakan 'TikTok For Business' bagi mereka yang ingin menyiarkan iklan mereka dalam aplikasi video #1 di Malaysia.

Bengkel 'TikTok Shop' adalah sebahagian daripada projek Sarawak Digital Mall di bawah naungan SDEC dan merupakan salah satu pengisian program Minggu PMKS Zon Sarawak 2023 anjuran KUSKOP, MINTRED dan SME Corp. Malaysia.

Orang ramai yang berminat mendaftar boleh klik pautan disertakan untuk mendaftar: https://bit.ly/bengkeltiktokswk .
 

  • oleh
  • Advertisement