Anda di sini

MITI akan pastikan pelaburan dan eksport terus sokong pertumbuhan KDNK 2023

Advertisement
TENGKU ZAFRUL

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memastikan pelaburan dan eksport terus menyokong sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 4.0 hingga 5.0 peratus.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata negara merekodkan pelaburan dilulus bernilai RM71.4 bilion bagi suku pertama 2023, melonjak hampir 60 peratus tahun ke tahun. 

“Dengan 1,265 projek diluluskan, kita boleh menjangka menjana 23,977 peluang pekerjaan baharu merentas sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor penting.

“Memandangkan pelaburan dan eksport adalah komponen utama KDNK kita, oleh itu kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan KDNK kita bagi 2023, disokong oleh asas kukuh ekonomi Malaysia dan pelaksanaan Belanjawan 2023 menerusi agensi MITI,” katanya dalam ucapan beliau semasa pelancaran Program Pembiayaan EXIM Go-Export (GEFP 2023), di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), kementerian itu akan menerajui perubahan institusi dan merangka dasar kukuh untuk membantu industri membina daya tahan.

Beliau berkata MITI bekerjasama rapat dengan agensinya dan institusi utama, seperti Bank Negara Malaysia dan Bank Dunia, untuk merombak rangka kerja perindustrian, yang merangkumi beberapa strategi.

"Pertamanya, kami sedang mencari jalan untuk membantu menambah baik tahap teknologi industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita untuk mempersiapkan diri mereka sendiri dan membina daya tahan.

"Untuk tujuan ini, MITI sedang mengkaji semula bagaimana kita boleh membina rantaian nilai industri dan kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menambah baik proses pelaburan, perdagangan dan perindustrian kita,” katanya.

Menurutnya, MITI akan akan berusaha memastikan agensi awam dan syarikat sektor swasta untuk meningkatkan tahap teknologi dengan segera dan sewajarnya bagi memupuk DNA inovasi lebih dinamik dan PKS Malaysia yang bersiap siaga.

Kedua, katanya, NIMP 2030 juga menyasar untuk melindungi daya tahan ekonomi dan keterangkuman, antara lainnya, membangunkan rantaian bekalan lebih strategik, mengukuhkan kluster industri dan memperkasa pemprosesan tani halal. 

Tengku Zafrul berkata PKS juga akan banyak dilibatkan dalam semua projek dalam teras ini.

"Ketiga, PKS juga akan dibangunkan dengan kukuh menerusi dorongan daripada dasar kita untuk mencapai sasaran sifar bersih Malaysia menjelang 2050.

“Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan matlamat 'hijau’ berkaitan adalah pertimbangan asas bagi kerangka kerja dan dasar perindustrian baharu kita untuk matlamat penyahkarbonan ekonomi kita,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata, MITI juga akan memastikan PKS menjadi sebahagian daripada projek, sebagai contoh,  tenaga boleh baharu, peralihan karbon rendah, ekonomi sirkular serta pemerangkapan, penggunaan dan simpanan karbon. 

"Pelancaran Program Penghijauan Rantaian Nilai (GVC) yang baru dilancarkan dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) dan rakan strategik, merupakan contoh yang baik bagaimana ekosistem kerajaan memberi dorongan kepada pengurusan pelepasan karbon dalam kalangan PKS kita,” katanya.

Program Pembiayaan EXIM Go-Export, yang dibangunkan oleh EXIM Bank Malaysia, menyokong PKS dan pelanggan korporat untuk mendapatkan pembiayaan bagi perniagaan mereka dalam bidang seperti pembangunan eksport, teknologi hijau dan ekosistem rantaian bekalan. - BERNAMA 

Advertisement