Anda di sini

HASiL terus pergiat promosi e-invois, tingkat kecekapan pentadbiran cukai

Advertisement
 

KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus menggiatkan lagi promosi pelaksanaan e-invois ke Zon Utara bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai.

HASiL dalam kenyataan pada Jumaat berkata, Zon Utara menjadi destinasi kedua siri jelajah sesi libat urus pelaksanaan e-invois.

“Siri kedua bagi sesi libat urus oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL Datuk Dr Mohd Nizom Sairi ini melibatkan hampir 170 orang peserta.

“Mereka terdiri daripada para pengamal percukaian, badan profesional dan media di Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Kedah,” ujarnya.

Secara umumnya, HASiL berkata, pelaksanaan e-invois ini memberikan banyak manfaat kepada pembayar cukai dan negara.

Pertama katanya, meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada pembayar cukai menerusi maklumat daripada e-invois yang akan di pra-isi ke sistem perakaunan atau rekod perniagaan pembayar cukai. 

“Pra-isi maklumat juga dibuat secara automatik menggunakan data yang telah diterima melalui platform e-invois ke Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP). 

“Pelaksanaan e-invois ini ternyata mempermudahkan proses percukaian serta memudahkan pembayar cukai untuk menjalankan tanggungjawab percukaian,” ujarnya.

Manfaat kedua katanya, memperkemas dan memperkasa sistem percukaian negara, meningkatkan ketelusan cukai selain menyediakan penilaian risiko pematuhan yang lebih tepat secara masa nyata.

“Dan seterusnya menyokong hasrat kebanyakan negara ke arah pendigitalan pentadbir cukai,” ujarnya.

Diharapkan dengan penganjuran sesi libat urus kedua ini, para peserta dari Zon Utara dapat memanfaatkan ruang dan peluang untuk mendapatkan maklum balas secara terus daripada HASiL.

Sekali gus, memainkan peranan dalam memastikan pelaksanaan e-invois ini mencapai objektifnya sekali gus memacu pertumbuhan sosio-ekonomi negara.

Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public.
 

Advertisement