
SIBU: Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Stapang, Selangau, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 6.57 pagi sebelum mengerahkan enam anggota diketuai PBK II Abdul Malik Chi ke lokasi.
"Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah kereta. Seorang penumpang di bahagian belakang kereta terbabit didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau.
"Pemandu dan seorang lagi penumpang kereta yang sama cedera dan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu lori itu yang tidak mengalami kecederaan, terus membuat laporan di Balai Polis Stapang.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pasukan bomba turut membuat pembersihkan di kawasan kemalangan dan bertolak balik ke balai setelah keadaan selamat sepenuhnya.