Anda di sini

Perdagangan, pelaburan Sarawak-China penting untuk pembangunan ekonomi

Advertisement

Beberapa pelabur China pilih Sarawak sebagai pangkalan,tempat pengoperasian pembuatan solar, keluli 

Awang Tengah (berdiri, lapan kiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU semasa progrom ‘MINTRED Connects Guangzhau 2023’ di China semalam.
Awang Tengah (berdiri, lapan kiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU semasa progrom ‘MINTRED Connects Guangzhau 2023’ di China semalam.

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perdagangan dan pelaburan antara Sarawak dan China penting untuk pembangunan ekonomi negeri ini.

Menurutnya, beberapa pelabur dari China telah memilih Sarawak sebagai pangkalan atau tempat pengoperasian dalam pembuatan solar dan keluli manakala yang lain masih dalam perbincangan.

“China adalah rakan dagangan penting kita dengan jumlah perdagangan antara Sarawak dan China bernilai RM36.73 bilion pada 2022.

"Ini termasuk eksport Sarawak ke China bernilai RM24.6 bilion bagi barangan merangkumi gas asli cecair, bahan kimia, mineral, minyak masak dan lain-lain manakala nilai import Sarawak dari China bernilai RM1.74 bilion pada 2022 melibatkan barangan seperti bahan kimia, bahan api mineral, pelincir dan pelbagai barangan perkilangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa,Industri dan Pelaburan (MINTRED) merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata demikian ketika berucap merasmikan program ‘MINTRED Connects Guangzhou 2023'di Guangzhou, China semalam.

Menurut kenyataan media dikeluarkan MINTRED semalam, ‘MINTRED Connects'merupakan  program promosi perdagangan dan pelaburan jangkauan kementerian bertujuan menghubungkan usahawan Sarawak dengan rakan kongsi serta pelabur berpotensi dari seluruh pelosok dunia.

“Ini antara usaha kementerian memberi lebih banyak pendedahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menghubungkan mereka dengan lebih banyak peluang dari seluruh dunia.

“Pada masa yang sama, MINTRED terlibat dengan pelabur yang berminat meneroka peluang pelaburan di Sarawak,” jelas kenyataan itu. 
 
Menurut kenyataan itu, program ‘MINTRED Connects Guangzhou 2023' yang pertama diadakan di Guangzhou mendapat sambutan menggalakkan.

Sempena program itu, Awang Tengah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) dan lima memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat Sarawak dan rakan kongsi mereka di China dalam bidang pendidikan, aplikasi digital, pelancongan, makanan dan minuman serta fasiliti-fasiliti perdagangan.

Pemeteraian MoA dan MoU itu akan membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama antara Malaysia dan China, khususnya dengan Sarawak.

Bagi program ‘MINTRED Connects Guangzhou 2023’ yang pertama itu, 10 syarikat Sarawak mengambil bahagian dalam mesyuarat padanan perniagaan dan promosi perkhidmatan serta produk mereka.

Hadir sama menyaksikan majlis menandatangani MoU itu Konsul Jeneral Malaysia di Quangzhou, China Suraya Ahmad Pauzi.

“Kementerian merancang untuk mengadakan lebih banyak program ‘MINTRED Connects’ di lokasi lain di dunia tidak lama lagi.

“Perdagangan dan pelaburan adalah penting bagi Sarawak untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.

“Kami berharap dapat menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan yang boleh mewujudkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” tambah kenyataan itu.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Zaidi Mahdi, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron,Pengarah EPU Sarawak Lester Matthew, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Datu Abdullah Julaihi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Datu Ismawi Ismuni dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Sarawak Energy Berhad James Ung.

Advertisement