KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang sejak Selasa lalu di Ladang Tung Hup, di sini.
Nurain Randi berumur setahun sembilan bulan dipercayai dilihat kali terakhir di kawasan perumahan ladang berkenaan sebelum gagal ditemukan sehingga hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Sahah Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12 tengah hari, 30 Mei lalu.
Katanya, seramai tiga anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).
“Operasi SAR dijalankan selama tiga hari dengan radius pencarian diperluas sehingga lima kilometer dari lokasi mangsa hilang.
“Bagaimanapun, hari ketiga pencarian dikecilkan kepada satu kilometer namun masih gagal menemukan sebarang petunjuk sebelum ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan SAR mengalami sedikit cabaran kerana lokasi kejadian tidak mempunyai litupan grid.
“Sehingga kini mangsa belum ditemukan dan operasi akan disambung semula sekiranya mendapat petunjuk baharu,” katanya.