Anda di sini

Djokovic akui persaraan Nadal tahun hadapan beri impak pada karier beliau

Advertisement
Djokovic (depan) terlebih dahulu melambai kepada penonton sebelum perlawanan tenis Hari Media Roland-Garros di Paris, kelmarin. — Gambar AFP
Djokovic (depan) terlebih dahulu melambai kepada penonton sebelum perlawanan tenis Hari Media Roland-Garros di Paris, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Novak Djokovic mengakui pada Sabtu bahawa apabila pesaing kuatnya sejak sekian lama, Rafael Nadal bersara pada tahun hadapan, “sebahagian hidup saya juga akan pergi”.

Djokovic berkongsi rekod memenangi 22 kejuaraan Grand Slam bersama Nadal tetapi boleh memiliki rekod bersendirian apabila memenangi kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ketiga.

Nadal, juara 14 kali di Terbuka Perancis, tidak akan beraksi pada kejohanan itu tahun ini kerana kecederaan.

Dengan ulang tahun kelahiran yang ke-37 semakin hampir, Nadal mengakui tahun 2024 mungkin akan menjadi tahun terakhirnya sebagai pemain tenis profesional.

“Apabila dia mengumumkan bahawa dia akan mengharungi musim terakhir dalam kariernya, saya merasakan sebahagian dari diri saya juga akan pergi,” kata Djokovic.

“Ia menyebabkan saya memikirkan tentang karier saya sendiri dan berapa lama saya akan terus bermain.

“Saya tidak akan membuat sebarang pengumuman hari ini, hanya memikirkannya. Saya juga berasa sedikit emosi tentang apa yang dia (Nadal) katakan.”

Djokovic memiliki rekod 30-20 menentang Nadal tetapi jaguh dari Sepanyol itu lawan yang tak terkalah di Terbuka Perancis dengan memenangi lapan dari 10 pertemuan di antara mereka.

“Sejujurnya, saya tidak suka melihat dia di Terbuka Perancis,” tambah Djokovic.

“Saya tidak begitu berjaya bertemu dengannya di sini. Saya hanya menang dua kali tetapi saya terpaksa berhempas-pulas untuk melakukannya.”

Jika Djokovic berjaya memenangi kejuaraan Terbuka Perancis tahun ini, dia bukan hanya memecah rekod Nadal.

Dia juga akan berkongsi rekod dengan pemain tenis wanita, Serena Williams, yang memenangi 23 kejuaraan Grand Slam, dengan Williams gagal mengatasi rekod 24 kejuaraan dimenangi Margaret Court untuk rekod lelaki dan wanita dalam sukan tenis.

“Ia bukan rahsia di mana salah satu sebab saya bermain hari ini dan bertanding dalam sukan tenis profesional ialah untuk cuba memecah seberapa banyak rekod dan mencipta lebih banyak sejarah dalam sukan tenis,” kata Djokovic.

“Ia memberikan inspirasi dan motivasi  untuk saya. Sejarah menjadi pertaruhan di sini dan ia sesuatu yang membanggakan.”

Walaupun dengan dua kejuaraan di Terbuka Perancis, Djokovic menegaskan pemain ranking nombor satu dunia ketika ini, Carlos Alcaraz menjadi pilihan untuk memenangi kejuaraan sulung di Terbuka Perancis, selepas  memenangi kejuaraan Grand Slam sulung di Terbuka Amerika (AS).

Alcaraz, 20, sudah memenangi kejuaraan di permukaan tanah liat pada kejohanan di Buenos Aires, Madrid dan Barcelona musim ini.

Berbeza dengan Djokovic, dia gagal melepasi peringkat suku akhir dalam mana-mana kejohanan di permukaan tanah liat, selain turut terjejas dengan kecederaan di bahagian siku.

Djokovic dan Alcaraz dijangka akan bertemu di separuh akhir jika kedua-dua pemain itu tidak tersungkur awal di Terbuka Perancis. — AFP 
 

Advertisement