Anda di sini

PBS komited kekalkan kerjasama dalam GRS

Advertisement
 Joachim (tiga kanan) bersama ahli PBS ketika merasmikan AGM tersebut.
RASMI: Joachim (tiga kanan) bersama ahli PBS ketika merasmikan AGM tersebut.

KIULU: Kerjasama Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sangat penting bagi meneruskan momentum kejayaan di negeri ini.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, semua ahli diminta supaya sentiasa memperkukuhkan kerjasama dengan ahli parti lain dalam GRS di semua peringkat.

Katanya, banyak kejayaan yang sudah dikecapi di negeri ini, hasil daripada kerjasama semua parti dalam GRS ketika ini.

“Kita mahu pimpinan dan ahli PBS terus menjalinkan hubungan yang baik dengan parti dalam GRS di semua cawangan.

“Kita tidak boleh menang dengan selesa sekiranya tanpa kerjasama yang kukuh ini, malah pembangunan negeri juga sukar untuk dikecapi,”katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian Kiulu, di sini semalam.

Joachim berkata, pihaknya sangat bersyukur kerana kepimpinan PBS sangat komited untuk meneruskan perjuangan parti dan menjalankan tugas dengan amanah.

“Sebagai sebuah parti yang tertua di Sabah, PBS terus relevan serta aktif di semua 73 cawangan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dan Labuan.

“Saya memberi jaminan bahawa semua Ahli Majlis Tertinggi (AMT) akan sentiasa membantu mana-mana program yang akan dilaksanakan oleh parti,”katanya.

Turut hadir, Ketua Bahagian PBS Kiulu yang juga Pembantu Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Wanita, Datin Malianah Ugau dan Ketua Pergerakan Pemuda; Christoper Mandut.

  • oleh
  • Advertisement