Anda di sini

Hussain Kasau, penulis luar biasa, ideanya terus mengalir

Advertisement
 

DATUK Hussain Kasau membingkai dalam perjalanan saya mengembara di kebun penulisan. Sosok tubuhnya kecil, tapi jiwanya besar. Fikirannya setajam matanya menghayati. Mindanya tidak pernah kabur persis matanya tetap jelas penglihatan tanpa perlu berkaca mata pada usia lewat 70an kini.

Terbiasa sekadar memanggilnya `Haji Hussain', saya teringin sangat menjadi seperti dia. Tapi sangat mustahil dapat menciplak kehebatan idea bertunas semulajadinya itu. Lagi pun kami bermula di garisan pemula jauh berbeda.

Hussain membugar kebun penulisannya lama sejak sebelum merdeka, sedang saya bertatih pasca merdeka. Di perkebunan tulis menulis inilah, saya cuba mengikut jejaknya.

Stail tulisannya menarik. Bahasanya mudah. Ringkas dan padat. Penyampaian senang difahami. Mesej mudah dimengerti. Sebermula membaca karyanya, kita seperti tidak mahu berhenti hingga ke noktah paling hujung. Ada saja tarikan hingga tidak terasa jemu lesu membaca. Biarpun panjang berjela-jela.

Bila Hussain menghasilkan karya seni sastera, bahasanya cukup indah, puitis dan romantik. Bila dia menulis pasal politik, lengok laras bahasanya cukup drastik lengkap dengan kiasan-kiasan menarik. Pembaca pasti tertarik. Tidak akan pernah serik untuk terus membaca.

Inilah yang cuba saya selami dan tiru.  Tapi nyata tidak bisa. Sudah berusaha mengejarnya sehabis kuat, namun sangat jauh tertinggal. Hari ini, saya masih berlari mengejarnya, pada waktu kian singkat tersisa menjelang senja usia.

Saya menekuni karya tulis Hussain berbagai genre -- kreatif puisi, cerpen, novel dan komentar sastera sehingga kepada non-kreatif, fiksyen serta analisa politik -- nyata beliau adalah seorang penulis luar biasa hebatnya.

Garapan ideanya, lontaran kata-katanya begitu membekas. Siapapun yang membaca pasti dapat menangkap makna. Baik yang tersurat terpampang berterus-terang, mahupun yang tersirat halus di sebalik ungkapan berseni.

Karyanya dari dulu sampai sekarang sentiasa konsisten. Mengalir dan terus mengalir. Tanpa lesu mengairi dan menyuburkan kebun penulisan.

Tulisannya berkait politik lagi pragmatik sifatnya. Sepanjang 50 tahun menonton panggung politik, Hussain melihat depan mata lakonan ramai politikus berbagai karekter, beraneka watak menjadi hero dan heroin. 

Dalam jajaran perjalanan itu juga, dia menyaksikan jatuh bangun pemimpin dan parti silih berganti. Dia berkubang dalam arena sejak zaman Usno, Berjaya, PBS, BN, Warisan dan kini GRS.

Dulu Hussain mengakrabi sebilangan orang-orang politik ini, malah sampai saat ini pun masih melihat mereka dari kejauhan -- di kebun penulisannya sebagai petani politik.

Kerana kepelbagaian genre penulisannya, saya tidak tahu memberinya gelaran apa --- sasterawan, wartawan, karyawan atau seniman?

Malah beliau pernah menjadi pengarah drama pentas di daerah kelahirannya, Tawau, pada waktu remajanya dan dikhabarkan pementasan itu berjaya menarik khalayak luar biasa ramainya.

Sebagai penjejak karya dan tulisannya, saya rasa sedikit sedih dan terkilan kenapa tiada siapa-siapa pernah mengambil tahu untuk medokumentasikan `khazanah ilmu yang masih bernyawa' ini?  

Hussain adalah sebuah khutubkhana. Menyimpan banyak kisah peradaban zaman. Juga cerita romantika tentang manusia dan kehidupan.

Ke mana perginya institusi-institusi penulisan, badan-badan bahasa, persatuan penulis, persatuan wartawan dan malah kerajaan negeri dan Persekutuan? Tidakkah terfikir untuk melakukan sesuatu untuknya?

Tahukah anda bahawa Hussain memiliki teratak buku yang menyimpan sejumlah bahan bacaan bermacam topik, termasuk karya-karya penulis agung seantero dunia, yang dikumpul puluhan tahun.

Saya mula mengenali Hussain sewaktu beliau menerajui sidang redaksi Bahasa Melayu akhbar Daily Express sekitar tahun 1982, kemudian pada tahun berikutnya, saya mengikuti kursus penulisan/kewartawanan di mana Hussain merupakan salah seorang daripada pembentang kertas kerja pada waktu itu.

Dari situlah bercambahnya tunas penulisan saya, terutama dalam kewartawanan. Selain menulis untuk Daily Express, saya juga menghantar tulisan ke sebuah lagi akhbar tempatan, Sabah Times, ketika itu diterajui Emin Madi (yang kemudian dinobat oleh Persatuan Wartawan Sabah sebagai Tokoh Wartawan Sabah 2019).

Saya konsisten menulis untuk kedua-dua akhbar tersebut untuk beberapa lama, sebelum saya memulakan kerjaya sebagai wartawan dengan akhbar Berita Harian pada 1 Januari 1984.

 Penulis (kiri) bertemu Hussain di sebuah kafe di Putatan, dua hari lepas.
SEMBANG PAGI: Penulis (kiri) bertemu Hussain di sebuah kafe di Putatan, dua hari lepas.

Kedua-dua akhbar Daily Expres dan Sabah Times ini adalah matrikulasi bagi saya.

Biarpun dalam kesibukan menjadi wakil tunggal Berita Harian di Sabah waktu dulu, hubungan saya dan Hussain tidak pernah putus. Tanpa jemu, dia membajai semangat kewartawanan saya. Malah beliau menjadi pembakar semangat ketika saya hampir rebah.  Dia menarik tangan saya untuk bangkit semula, sambil berkata: "Biarkan apa saja mereka kata. Teruskan menulis. Tulislah apa saja yang terlintas untuk ditulis. Kita menulis bukan kerana nama. Kita menulis untuk orang baca. Untuk orang berfikir."

Sepanjang perjalanan tahun-tahun berikutnya, Hussain mengajak saya menulis dan melakukan kerja-kerja penyuntingan untuk beberapa penerbitan
Satu hal yang saya pelajari daripada Hussain adalah tentang pengalaman dan pelajaran. Pengalaman masa lalu adalah ilmu paling ampuh. Pelajaran tanpa pengalaman pula belum menjanjikan sukses kehidupan. 

Mungkin kerana itulah,  Albert Einstein, ahli fizik Jerman dan Amerika Syarikat, pernah menulis `Sumber pengetahuan utama adalah pengalaman.' 

Manakala Tere Liye, penulis dari Indonesia, pernah mengungkapkan `Pengalaman selalu lebih penting dibanding level pendidikan dan nilai akademis.' Dua ungkapan menginspirasikan biarpun subjektif sifatnya.

Saya sedang kompilasi pengalaman peribadi sepanjang 40 tahun mengakrabi dunia kewartawanan. Di sepanjang perjalanan panjang berliku itu, Hussain menjadi antara pensyarah ilmu tidak berbayar saya. Ilmunya sangat mahal berharga.

Dua hari lepas, saya gembira dapat bertemu dengan Hussain sambil bersarapan kopi dan roti canai. Dia tetap gah dan semangat, bercerita kisah silam dan pengalaman masa lalu.

Bual bicaranya adalah ilustrasi sebuah pemikiran prolifik dari seorang insan bernama Hussain Kasau.
 

Advertisement