Anda di sini

Syarikat konsesi perlu laksana tugas dengan amanah

Advertisement
 Jaujan (kanan), ADUN Tanjong Papat Datuk Frankie Poon (kiri) dan ADUN Membakut Datuk Arifin Mohd Arif ketika dalam DUN sebelum persidangan bermula.
BERBICARA: Jaujan (kanan), ADUN Tanjong Papat Datuk Frankie Poon (kiri) dan ADUN Membakut Datuk Arifin Mohd Arif ketika dalam DUN sebelum persidangan bermula.

KOTA KINABALU: Semua syarikat konsesi yang dilantik kerajaan negeri untuk mengendalikan penyaluran bekalan air kepada rakyat perlu melaksanakan tugas dengan penuh amanah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong berkata, syarikat berkenaan mempunyai peranan penting dalam menyalurkan air kepada rakyat khususnya di kawasan perumahan serta pengguna yang mempunyai saluran paip bermeter.

"Jabatan Air Negeri Sabah tidak harus disalahkan sepenuhnya, kerana sudah terdapat syarikat konsesi yang dilantik untuk melancarkan penyaluran bekalan air bersih, tetapi apakah peranan mereka.

"Difahamkan jalan raya juga sama, sudah ada beberapa syarikat konsesi dilantik untuk membuat penyelenggaraan jalan raya tetapi kemudahan asas itu masih tidak baik, akhirnya rakyat salahkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Mereka ini yang patut dipersoalkan, apabila kita membuat aduan pada talian yang tertera pada papan tanda, nombor terbabit gagal untuk dihubungi atau tiada yang menyambut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara berkenaan juga sudah disampaikan pada perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 penggal keempat di sini, pada Rabu.

Jaujan berkata, sudah tiba masanya peranan syarikat konsesi berkenaan dinilai semula.

"Sekiranya sudah diberikan peluang untuk meningkatkan perkhidmatan, namun masih gagal, kerajaan perlu menggantikan mereka dengan syarikat baharu berdasarkan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian," katanya.

Beliau juga menyeru kepada kerajaan hari ini agar menaik taraf klinik kesihatan yang terletak di Pulau Bum-Bum.

Katanya, walaupun beberapa menteri berkaitan sudah mengadakan lawatan ke kawasan terbabit, masalah kemudahan itu masih tidak dapat diatasi.

"Klinik di pulau itu memerlukan pegawai perubatan, bukan sekadar staf jururawat sahaja dan bekalan ubat yang mencukupi.

"Balai polis pulau itu juga perlu dinaik taraf, bukan sahaja balai tetapi juga kuarters. Pegawai polis di sana mempunyai keluarga, siang dan malam menjaga keselamatan, tetapi mereka tinggal dalam kontena...kini sudahlah cuaca panas," katanya.

Katanya, kerajaan perlu naik taraf kemudahan itu kerana Semporna khususnya selalu menjadi sasaran Jenayah Rentas Sempadan.

Selain itu katanya, ketirisan yang wujud dalam sektor perkhidmatan perlu ambil perhatian agar selari dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menamatkan amalan rasuah.
 

  • oleh
  • Advertisement