Anda di sini

DUN Sabah lulus dua pindaan RUU

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Dua pindaan Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini berkaitan RUU Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) dan RUU Tanah.

Kedua-dua pindaan RUU berkenaan diluluskan oleh Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya pada Persidangan DUN Negeri Sabah di sini.

Seramai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membahaskan usul pindaan RUU ini termasuk ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick; ADUN Senallang Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal; ADUN Kapayan Jannie Lasimbang; ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang; ADUN Nabawan Datuk Abd Ghani Mohd Yassin; ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob; ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah; dan ADUN Telupid Jonnybone J Kurum.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membentangkan kedua-dua usul berkaitan Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2023 dan RUU Tanah (Pindaan) 2023.

Menurutnya, RUU Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2023 adalah bertujuan menyempurnakan hasrat kerajaan untuk membubarkan seluas lebih kurang 554.43 hektar hutan simpan kekal negeri.

Katanya, pindaan RUU berkenaan juga untuk menubuhkan dua kawasan hutan simpan yang baharu seluas lebih kurang 1,121 hektar.

"Selain itu ia bertujuan mengelaskan semula sembilan kawasan hutan simpan daripada pelbagai kelas sedia ada.

"Cadangan penubuhan hutan simpan baharu, pengelasan semula dan pembubaran sebahagian kawasan hutan simpan dipinda selaras dengan kehendak seksyen 2 Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984," katanya pada sidang DUN di sini.

Nizam berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk membubarkan seluas kira-kira 554.43 hektar daripada 18 kawasan hutan simpan negeri yang terdiri daripada Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan), Hutan Simpan Kelas II (Komersial), dan Hutan Simpan Kelas V (Bakau) bagi tujuan penempatan atau perkampungan, tanah perkuburan, tapak masjid, tapak Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serudong-Simanggaris serta pembangunan kawasan bagi tujuan pembangunan sosio-ekonomi negeri.

Sementara itu jelasnya, pindaan RUU Tanah bertujuan meminda peruntukan sedia ada serta memasukkan peruntukan baharu ke dalam Ordinan Tanah (Bab 68) berhubung dengan kawal seliaan dan kawalan ke atas penggunaan tanah bagi penyimpanan karbon dan penggunaan spektrum dan harta lain yang dijumpai dalam kolum ruang udara di atas tanah.

  • oleh
  • Advertisement