Anda di sini

147 lot tempat letak kereta akan ditambah di Hospital Tawau

Advertisement
 James bertemu dengan ADUN Tanjong Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy semasa Sidang DUN di sini.
SIDANG DUN: James bertemu dengan ADUN Tanjong Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy semasa Sidang DUN di sini.

KOTA KINABALU: Sejumlah 147 lot tempat letak kereta akan ditambah sebaik Projek Naik Taraf Hospital Tawau untuk bangunan baharu disiapkan kelak.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata kementeriannya melalui Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan terdapat 350 lot tempat letak kereta di Hospital Tawau pada masa ini.

“Dengan siapnya Projek Naiktaraf Hospital Tawau untuk bangunan baharu, sebanyak 147 lot tempat letak kereta tambahan akan disediakan.

“Syabas dan tahniah kepada kontraktor yang melaksanakan pembinaan Hospital Tawau kerana berjaya menyiapkan dalam waktu yang ditetapkan dan hospital ini dijangka siap sepenuhnya tahun ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 Penggal Keempat di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin yang bertanya berapa banyak tempat letak kereta akan ditambah atau dirancang untuk Hospital Tawau dan adakah sebarang rancangan untuk mengambil alih tanah kosong dengan nombor geran hak milik Qhazanah Sabah atau Warisan Harta untuk tujuan penambahan kawasan tempat letak kereta.

Sementara itu bagi menjawab soalan kedua, James berkata JKNS tidak mempunyai rancangan untuk mengambil balik tanah hak milik Qhazanah Sabah atau Warisan Harta.

Beliau bagaimanapun berkata JKNS akan berhubung dengan kerajaan negeri berkenaan tanah kosong lain di sekitar kawasan hospital terbabit untuk dijadikan tempat letak kereta.

James juga memaklumkan pada masa hadapan Hospital Tawau memerlukan kira-kira 1,000 hingga 1,500 lot tempat letak kereta dan pihaknya mengalu-alukan pelabur luar untuk membina tempat letak kereta ini secara berkonsepkan Build-Operate-Transfer (BOT) dan disewakan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

  • oleh
  • Advertisement