Anda di sini

Nilai eksport perkayuan Sarawak tunjuk penurunan suku pertama 2023

Advertisement
Awang Tengah menunjukkan teks ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar kepada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh (kiri) serta yang lain. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Awang Tengah menunjukkan teks ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar kepada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh (kiri) serta yang lain. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Nilai eksport produk perkayuan Sarawak menunjukkan penurunan pada tempoh suku pertama 2023 sebanyak 28 peratus kepada RM752 juta berbanding RM1.04 bilion pada tempoh yang sama tahun 2022.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penurunan jumlah eksport itu adalah kesan daripada pengurangan import produk utama seperti papan lapis, balak dan papan gentian oleh negara Jepun dan India.

"Dalam tempoh tersebut, Jepun masih merupakan pengimport utama bagi produk perkayuan yang menyumbang sebanyak RM377 juta atau 50 peratus daripada keseluruhan nilai eksport Sarawak.

"Pasaran utama lain adalah India sebanyak RM99 juta, negara-negara Timur Tengah sebanyak RM80 juta, Taiwan sebanyak RM41 juta dan China sebanyak RM37 juta," katanya dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata pada masa ini, eksport produk perkayuan masih lagi tertumpu kepada eksport produk utama.

Justeru katanya, industri perkayuan disyorkan mentransformasikan aktiviti dan operasi mereka mengeluar lebih banyak produk perkayuan nilai tambah tinggi, menggunakan lebih banyak bahan-bahan mentah dari ladang hutan dan buluh secara optimum.

"Pengeluar dan pengeksport barangan kayu tempatan juga mestilah berdaya saing di pasaran tempatan dan global dengan mengadaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang menekankan teknologi automasi dan digital.

"Oleh yang demikian, pihak industri perlu berubah dan komited untuk melaksanakan retooling dalam operasi mereka sesuai dengan bekalan bahan mentah yang diperolehi dari ladang hutan," ujarnya.

Mengulas lanjut Awang Tengah berkata, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kerajaan telah mengenal pasti beberapa industri dan produk baharu yang berpotensi untuk dimajukan dengan mampan seperti industri biojisim (biomass), perabot, industri berasaskan buluh dan kayu tereka bentuk (engineered wood).

"Penganjuran Persidangan Antarabangsa Kayu Kejuruteraan pada 16 hingga 17 Mei 2023 oleh PUSAKA telah berjaya membuka minda pemain-pemain industri perkayuan serta pemegang taruh yang berkaitan tentang potensi industri dan produk ini di pasaran tempatan dan global. 

"Pembangunan industri ini dijangka akan menjadi game changer untuk mencapai produk nilai tambah tinggi serta mengoptimum penggunaan sumber bahan mentah dari ladang hutan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement