Anda di sini

Kadar pengangguran di Sabah menurun 0.4 peratus

Advertisement
MOHD ARIFIN
MOHD ARIFIN

KOTA KINABALU: Kadar pengangguran di negeri ini pada 2022 direkodkan menurun 0.4 peratus daripada 8.1 peratus (176,700) kepada 7.7 peratus (169,800) berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jumlah berkenaan hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dan pelbagai agensi. 

Katanya, pihak KSTI bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan berbincang dengan Jabatan Statistik Malaysia bagi memperhalusi data pengangguran Sabah dengan mengambil kira anak-anak Sabah yang bekerja di luar khususnya Semenanjung.

"Antara inisiatif yang dirancang oleh pihak kementerian tahun ini ialah pelaksanaan 91 kursus kemahiran iaitu 59 kursus kemahiran jangka pendek, 10 kursus kemahiran jangka panjang dan 22 kursus kemahiran khas (kerjasama strategik) melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM). 

"Kursus ini akan memanfaatkan seramai 1,774 orang di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Di samping itu, jabatan ini juga melaksanakan tiga 'Sabah Entrepreneurship Program' (STEP) tahun ini.

"Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) juga ada menyediakan latihan bagi menyokong usaha-usaha berkenaan," katanya dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan DUN di sini hari ini.

Beliau berkata, program-program kebolehpasaran pekerjaan seperti Karnival Kerjaya yang dianjurkan bersama oleh JPSM dan PERKESO juga berjaya menempatkan seramai 36,000 belia dalam pelbagai sektor pekerjaan pada 2021 hingga 2023. Sebanyak 10 siri Karnival Kerjaya turut dirancang tahun ini.

Dalam pada itu jelasnya, KSTI dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) menjayakan program 'Upskilling for Deeptech and Futureskills' yang melatih 533 belia pada 2022 dan semua peserta program berjaya mendapat pekerjaan.
 

  • oleh
  • Advertisement