Anda di sini

Lelaki ceroboh kilang kayu dengan niat mencuri didenda RM3,000

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki didenda RM3,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan menceroboh masuk ke sebuah kilang kayu dengan niat mencuri.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah Teani Sebli, 33, dari Jalan Oya, Balingian mengaku bersalah atas dua tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan pencerobohan jenayah sebanyak dua kali dengan menceroboh masuk ke sebuah kilang kayu dengan niat hendak mencuri.
    
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh masing-masing pada jam 6.39 pagi, 10 Mei lalu dan jam 6.45 pagi, 11 Mei lalu di sebuah kilang kayu di Jalan Miri-Bypass di sini.
    
Setelah mendengar pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam, mahkamah kemudian mengenakan denda RM1,500 atau sebulan penjara masing-masing bagi tuduhan pertama dan kedua.
    
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement