Anda di sini

Amang seksual terhadap cucu, pekerja ladang dipenjara lapan tahun dan empat sebatan

Advertisement
Tertuduh (kiri) diiring polis selepas keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhi hukuman penjara di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh (kiri) diiring polis selepas keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhi hukuman penjara di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

KUCHING: Seorang pekerja ladang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap cucu saudara perempuannya berusia lapan tahun dengan cara menyentuh kemaluan, memeluk tubuh badan dan mencium pipi mangsa.

Lelaki berusia 44 tahun itu mengaku bersalah sebaik didakwa atas dua pertuduhan, masing-masing dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017, boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 14 SOACA 2017 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh disebat sementara Seksyen 16 SOACA 2017 membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada dua sebatan jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Hakim Maris Agan memerintahkan tertuduh beralamatkan di Simunjan tersebut untuk dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama sementara bagi pertuduhan kedua, penjara lapan tahun dan dua sebatan.

Maris memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan secara serentak berkuat kuasa hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual fizikal untuk tujuan seks terhadap mangsa, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun pada waktu kejadian dengan cara menyentuh kemaluan mangsa semasa berada di kediaman mangsa di sebuah kampung di sini, awal Disember 2019.

Pertuduhan kedua pula menyaksikan tertuduh mengulangi perbuatan tersebut terhadap mangsa sama pada 13 Mei 2023, sekitar jam 3 petang di tempat sama, namun pada kali ini tertuduh memeluk, mencium pipi, dan menyentuh kemaluan mangsa yang kini berusia lapan tahun.

Berdasarkan fakta kes, semasa mangsa berada di rumah seorang diri pada 13 Mei lalu, mangsa didatangi datuk saudara kepada mangsa (tertuduh) yang menyatakan hendak meminjam tandas.

Ketika mangsa berdiri di ruang tamu, tertuduh secara tiba-tiba memeluk mangsa dari belakang, meraba tubuh badan, mencium muka dan memasukkan tangannya ke dalam seluar mangsa lalu menyentuh kemaluan mangsa.

Mangsa melawan dengan menepis tangan tertuduh, membuatkan mangsa berjaya melepaskan diri dari pelukan tertuduh.

Seterusnya, mangsa dengan serta merta mengambil tukul untuk mempertahankan diri sehingga memaksa tertuduh terus beredar dari rumah.

Mangsa kemudian menceritakan perkara tersebut kepada ibunya berusia 26 tahun yang kemudiannya bertindak membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari sama. 

Hasil siasatan mendapati sewaktu kejadian berlaku, keluarga mangsa termasuk ibunya (pengadu) tidak berada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri doa selamat di rumah abang pengadu.

Semasa siasatan dijalankan juga, mangsa turut membongkar perbuatan tertuduh yang menyeluk seluar dan meraba-raba alat sulit mangsa ketika mangsa sedang tidur di ruang tamu di rumah sama pada waktu malam, awal Disember 2019.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement