Anda di sini

98 'Orang Asal' berlepas ke KL dengan pakaian tradisional

Advertisement
Roy (depan, dua kanan) menyerahkan bendera negeri kepada Peter sebelum kumpulan tersebut berlepas ke Kuala Lumpur.
Roy (depan, dua kanan) menyerahkan bendera negeri kepada Peter sebelum kumpulan tersebut berlepas ke Kuala Lumpur.

KUCHING: Sekumpulan 98 ahli-ahli Gabungan Orang Asal Sarawak/Sabah yang berpakaian tradisional berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini untuk mengikuti Borneo Native Festival hujung minggu ini.

Pelepasan kumpulan yang diketuai oleh Peter John Jaban itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lubok antu Roy Angau Gingkoi.

"Saya berbangga kerana acara seperti ini dapat terus mempromosikan budaya kita di Borneo ke mata Malaysia," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, penduduk di Semenanjung Malaysia akan berasa teruja kerana berpeluang melihat budaya dan pakaian tradisional pelbagai kumpulan etnik Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah, kumpulan itu juga akan menunjukkan kepada dunia betapa bangganya negeri-negeri Borneo dengan budaya mereka.

Roy berkata inisiatif untuk menghadiri festival itu merupakan landasan baik untuk mempromosikan konsep Malaysia Madani, iaitu perpaduan.

Bagi Peter, memakai pakaian tradisional pelbagai kumpulan etnik di Sarawak dan Sabah adalah cara untuk memberitahu dunia bahawa penduduk asli Borneo masih wujud.

"Ia juga untuk memberitahu dunia bahawa Orang Asal Sarawak dan Sabah adalah rakyat Malaysia kerana terdapat ramai orang dari luar Malaysia yang tidak menyedari bahawa Orang Asal dari kedua-dua negeri adalah rakyat Malaysia," katanya.

Kumpulan itu juga akan mengambil bahagian dalam perarakan sejauh satu kilometer dari Dataran Merdeka ke Pasar Seni iaitu lokasi Borneo Native Festival.

Pada 30 April tahun lalu, kumpulan itu turut menaiki pesawat dari Miri ke Kota Kinabalu, Sabah dengan memakai pakaian tradisional.
 

Advertisement