Anda di sini

Konsep ‘Malaysia Madani’ mampu tangani masalah rakyat, negara

Advertisement
 Sapawi ketika memberikan ucapan dalam majlis forum tersebut.
UCAPAN: Sapawi ketika memberikan ucapan dalam majlis forum tersebut.

SANDAKAN: Semua rakyat diminta supaya menghayati konsep dan falsafah ‘Malaysia Madani’ kerana ia menawarkan peluang serta cara untuk menangani pelbagai masalah rakyat dan negara ketika ini.

Yang Dipertua Petubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata, konsep ini wajar diterima sebagai salah satu pendekatan yang waras dan praktikal dalam mengatasi masalah rakyat.

Katanya, istilah Madani yang sememangnya sudah sekian lama diungkap serta dipopularkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan.

 “Konsep ini dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi tata kelola dan pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerksaan ekonomi serta budaya yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.  

“Selain itu, Malaysia Madani juga menekankan aspek pelaksanaan terhadap dasar sedia ada terutamanya dalam kemelut politik dan ekonomi yang dihadapi Malaysia sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Forum Malaysia Madani: Keharmonian dalam kepelbagaian bagi Zon Sandakan, di sini hari ini yang dihadiri lebih 1,000 orang.

 Sapawi (dua kiri) ketika hadir dalam forum tersebut.
HADIR: Sapawi (dua kiri) ketika hadir dalam forum tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor juga dilihat sudah menawarkan dasar dan hala tuju untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di Sabah.

“Melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mampu memacu rakyat dan negeri ke tahap pembangunan sosio-ekonomi yang lebih mampan.

“Sebenarnya, apa yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang adalah sehaluan dengan konsep Malaysia Madani,” katanya.

Mengulas mengenai majlis forum ini, katanya, ia adalah hasil perbincangan dan restu Hajiji, malah kerajaan negeri bersedia menjadi penganjur bersama.

Katanya, forum seterusnya akan diadakan di Zon Tawau,Zon pantai Barat Utara di Kudat, Zon Pedalaman Bawah di Sipitang dan Zon Pedalaman Atas di Keningau.

“Sebagai sebuah pertubuhan Islam terbesar di Sabah, peranan USIA tidak hanya tertumpu kepada soal menjaga hal ehwal dan kepentingan masyarakat Islam sahaja.

“Kita juga berperanan dalam memelihara hubungan antara agama di negara ini serta terlibat dengan pembangunan ummah,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Henry Idol dan Timbalan YDP USIA, Datuk Alipudin Puyon.

  • oleh
  • Advertisement