Anda di sini

Lebih mencabar, Kembara Media 2023 tampil kelainan menarik

Advertisement
 Fahmi (tengah), Teo (kanan) sempat beramah mesra dan merakam kenangan bersama pengamal media yang menyertai Kembara Media 2023. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia
MESRA: Fahmi (tengah), Teo (kanan) sempat beramah mesra dan merakam kenangan bersama pengamal media yang menyertai Kembara Media 2023. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia

SIRI 1

LEBIH mencabar dan menguji ketahanan fizikal, itulah antara ungkapan paling sesuai digunakan bagi menggambarkan suasana sepanjang empat hari penganjuran Program Kembara Media 2023 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Para peserta bukan setakat berpeluang mencuba aktiviti lasak seperti mendaki bukit, memanjat platform, meneroka gua, meredah hutan dan sungai. Malah berkesempatan bersuai kenal dengan hidupan liar badak air dan meninjau tasik yang dihuni puluhan ekor buaya.

Menjejak kaki ke lokasi pilihan Kembara Media 2023 turut membuka peluang kepada peserta untuk menimba pengalaman baharu luar dari bidang kerjaya sebagai petugas media.

Kembara Media kali ini memilih dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan dengan membabitkan beberapa lokasi menarik termasuk destinasi pelancongan dan pusat keusahawanan tempatan sebagai pengisian aktiviti para peserta.

Seperti penganjuran sebelum ini, pengamal media dari pelbagai agensi termasuk dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak dipilih untuk menyertai Program Kembara Media 2023.

 Peserta Kembara Media bersedia untuk berdepan cabaran di 'Goosebumps Rope Course' di Gamuda Cove. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia
SEDIA: Peserta Kembara Media bersedia untuk berdepan cabaran di 'Goosebumps Rope Course' di Gamuda Cove. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia

Bermula pada 8 hingga 11 Mei 2023, seramai 22 pengamal media terlibat dengan pelbagai aktiviti mencabar namun menarik untuk sama-sama merasai pengalaman berharga yang disediakan penganjur khusus untuk Kembara Media 2023.

Di Selangor, para peserta berpeluang menikmati aktiviti mencabar dan lasak di Gamuda Cove Discovery Park Banting serta lawatan ke Gua Damai Extreme Park Gombak.

 Peserta Kembara Media tidak melepaskan peluang memberi makanan kepada badak air diberi nama Cendana yang ditempatkan di Paya Indah Discovery Wetlands Gamuda Cove. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia
BADAK AIR: Peserta Kembara Media tidak melepaskan peluang memberi makanan kepada badak air diberi nama Cendana yang ditempatkan di Paya Indah Discovery Wetlands Gamuda Cove. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia

Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching turut meluangkan masa semasa Sesi Ramah Mesra bersama peserta Kembara Media 2023 di Gamuda Cove.

Fahmi ketika berucap berkata, Program Kembara Media adalah satu peluang sangat baik untuk pengamal media lebih mengenali dan mencintai lokasi di negeri yang terlibat.

Katanya, para peserta boleh menceritakan mengenai lokasi yang dilawati dan ia bukan sahaja membantu memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

Malah jelasnya, menerusi program seumpama ini, ia memberi rasa cinta kepada satu kawasan atau negeri yang dilawati.

"Saya berharap rakan media yang menyertai program ini dapat menyampaikan apa yang diusahakan oleh kerajaan dan agensi peringkat negeri serta memaklumkan kepada pihak JAPEN sekiranya ada perkara yang perlu diberi perhatian.

"Program seperti ini bukan hanya mengeratkan hubungan silaturahim sesama rakan sekerja, tetapi memberi peluang supaya para peserta lebih mengenali negeri-negeri di Malaysia," katanya.

 Pengusaha lemang sushi Zuriati Sulaiman (kiri) menunjukkan salah satu produk lemang sushi kepada peserta Kembara Media. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia
UNIK: Pengusaha lemang sushi Zuriati Sulaiman (kiri) menunjukkan salah satu produk lemang sushi kepada peserta Kembara Media. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia

Sementara itu, lawatan ke Negeri Sembilan dimulakan dengan persinggahan ke pusat penghasilan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Lemang Sushi Serunding di Kuala Pilah serta ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu bagi meninjau produk berasaskan nanas dan ladang tanaman nanas.

Kembara Media di Negeri Sembilan mencipta satu lagi kelainan apabila peserta dibawa melawat perkampungan Orang Asli di Kampung Tohor Jelebu selain mengikuti demo audit telekomunikasi yang dikendalikan pihak Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di kampung berkenaan.

Penginapan di lokasi terakhir peserta Kembara Media menjadi lebih istimewa apabila diberi peluang berkhemah di Taman Negeri Kenaboi.

Suasana malam para peserta ditemani bunyi arus sungai yang hanya terletak beberapa meter sahaja dari tapak perkhemahan manakala, aktiviti 'survival' di Jeram Berungut Taman Negeri Kenaboi menjadi penutup Program Kembara Media 2023.

 Upacara perkahwinan Orang Asli di Kampung Tohor Jelebu Negeri Sembilan antara aktiviti menarik program berkenaan. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia
ADAT: Upacara perkahwinan Orang Asli di Kampung Tohor Jelebu Negeri Sembilan antara aktiviti menarik program berkenaan. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia

Dalam pada itu, wartawan BERNAMA Balkhis Awang @ Ahamad berkata, aktiviti mendaki bukit dan gua di Gua Damai antara yang paling mencabar sepanjang program ini.

Namun katanya, biarpun penat tetapi berbaloi kerana ia menguji ketahanan mental dan fizikal setiap peserta.

"Pada mulanya saya menyangkakan ekspedisi ini akan berakhir di atas bukit dan menyusuri keindahan gua dengan berjalan biasa sahaja, rupanya sekali lagi ketahanan diuji dengan terpaksa menuruni gua yang agak curam, tinggi, licin serta gelap.

"Syukur saya berjaya melepasi semua cabaran dalam aktiviti ini dengan selamat dan ini juga menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila berjaya mendaki Gua Damai.

"Dari situ saya pelajari betapa kerjasama satu pasukan itu sangat penting kerana jika hilang sokongan seorang, maka tumbanglah perjalanan kami ketika itu.

"Saya amat memuji pasukan Kembara Media 2023 yang sangat menyokong antara satu sama lain," katanya.

 Ketahanan fizikal peserta diuji semasa mendaki bukit dan merentas hutan di Gua Damai. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia
CABARAN: Ketahanan fizikal peserta diuji semasa mendaki bukit dan merentas hutan di Gua Damai. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia

Selain itu, Balkhis turut mengambil peluang melalui program ini untuk lebih memupuk semangat ingin tahu apabila kita ke suatu tempat dengan mengenali dan mengetahui latar belakang atau landskap pelancongan untuk diterangkan kepada masyarakat.

Beliau berkata, dalam apa juga aktiviti, perkara yang sangat penting untuk diterapkan adalah kerjasama sesuatu pasukan yang sangat diperlukan oleh setiap peserta.

Bagi wartawan China Press Lim Eng Kok, peluang mengenali dan melihat sendiri kehidupan Orang Asli di Kampung Tohor Jelebu adalah satu pengalaman yang paling bernilai.

Menurutnya, banyak perkongsian menarik penduduk di kampung berkenaan terutama berkaitan adat budaya mereka dapat dipelajari para peserta.

 Sesi santai sambil menikmati suasana tenang air sungai di Taman Negeri Kenaboi. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia
SANTAI: Sesi santai sambil menikmati suasana tenang air sungai di Taman Negeri Kenaboi. Kredit foto Jabatan Penerangan Malaysia

"Di sana saya dapat melihat bagaimana cara kehidupan Orang Asli di kawasan pedalaman seperti cabaran mereka dari segi kemudahan telekomunikasi.

"Selain itu, aktiviti merentas hutan dan mendaki bukit di Gua Damai antara yang paling mencabar kerana ada kawasan yang tinggi dan curam.

"Semangat saling membantu rakan-rakan peserta semua banyak mendorong saya lebih berani untuk menamatkan aktiviti dengan selamat," katanya yang pertama kali menyertai Program Kembara Media anjuran JAPEN.

Beliau berkata, pengalaman yang diperoleh sepanjang mengikuti aktiviti Kembara Media mengingatkannya supaya tidak mudah putus asa dan sentiasa membantu antara satu sama lain terutama dalam kalangan pengamal media.
 

  • oleh
  • Advertisement