Anda di sini

Dugaan Aidilfitri

Advertisement
 

Oleh: Yusuf Mustanir

SELAMAT HARI RAYA. Lagu itu sudah banyak kali berkumandangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang. Wajahnya resah. Tiga hari dia telah berulang-alik dari kampus ke lapangan terbang. Setiba di lapangan terbang pada awal pagi, dia terus ke kaunter penumpang menunggu atau standby counter untuk mendaftar nama dalam senarai menunggu.

            Selepas mendaftarkan namanya, dia mengambil tempat duduk dan dengan tenang menunggu namanya dipanggil. Setiap hari ada lima penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang ke Kuching yang dikendalikan oleh MAS. Dia telah diberitahu oleh pegawai petugas wanita berbaju kebaya batik di kaunter tadi bahawa semua penerbangan ke Kuching penuh sepanjang hari. Namun, dia mengambil keputusan menunggu. Mana tahu kalau ada dalam kalangan penumpang yang membatalkan hasrat untuk ke Kuching. Jika itu berlaku, cerahlah peluangnya untuk mendapat tempat di dalam pesawat. Itulah yang dia harapkan.

            Setiap kali hendak terbang ke Kuching dan kembali ke kampus, dia akan menggunakan kemudahan kad pelajar MAS yang menawarkan harga tiket separuh harga. Hari pertama dan hari kedua, gagal percubaannya untuk mendapat tempat duduk, semua laluan ke Kuching penuh. Lusa Aidilfitri dijangka tiba. Semua rakan sekuliah dan sekampus dengannya yang tinggal di Semenanjung Malaysia telah tiba di kampung halaman masing-masing. Dia pula, masih mencuba nasib di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang. Silap hari bulan, dia mungkin terpaksa menyambut Aidilfitri di lapangan terbang yang sibuk dua puluh empat jam itu. Setelah gagal untuk mendapatkan penerbangan ke Kuching pada hari kedua, lewat tengah malam, dia menelefon isterinya, Marianne di Kuching.

            “Gagal hari kedua,” ucapnya dengan nada kecewa.

            “Jangan menyerah kalah, usaha lagi esok hari!” Isterinya Marianne yang wajahnya seiras Sofia Jane, artis kacukan Melayu Inggeris menyuntik semangat kepadanya.

            Marianne juga gadis serani kacukan Irish Melayu. Sebelum melangkah kaki untuk melanjutkan pengajiannya ke universiti, dia memang sudah bernikah dengan Marianne. Ketika itu, dia sekadar guru lepasan maktab perguruan. Hanya selepas pengesahan dalam perkhidmatan, dia mengambil daya usaha untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah.

            Selepas menelefon isterinya, dia mengambil keputusan untuk berkampung sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang daripada balik ke kampus. Lagipun, penat berulang-alik dari kampusnya di Serdang ke lapangan terbang. Mandi? Tiada masalah, dia boleh mandi dalam tandas lapangan terbang. Sepanjang tempoh menunggu penerbangan untuk balik ke Kuching, dia berbuka puasa di lokasi menjual makanan di lapangan terbang. Harga, memang tinggi kalau dibandingkan dengan lokasi makanan di kampus dan Kuala Lumpur.

            Lagu-lagu raya semakin bertali arus bergema di semua sudut lapangan terbang. Dia semakin dijarah kepiluan. Timbul perasaan kesal di hatinya kerana tidak membeli tiket biasa yang sah tarikh dan waktu penerbangan daripada membeli tiket separuh harga menggunakan kad tambang pelajar yang meletakkannya dalam mode menunggu.

            Hari ketiga, dia duduk di kerusi berhampiran kaunter penumpang menunggu. Namanya paling atas. Harapannya, akan ada sekurang-kurangnya satu kekosongan tempat duduk dalam pesawat ke Kuching. Berombak-ombak dadanya menyaksikan penumpang bertali arus mendaftar masuk untuk penerbangan pertama ke Kuching. Matanya tidak berganjak daripada kaunter penumpang menunggu ataupun standby counter. Semakin kencang jantungnya berdenyut. Telinganya juga difokuskan ke kaunter tersebut. Kalau ada dalam kalangan mereka yang memerhati gelagatnya ketika itu, tentu akan wujud buruk sangka di akhir Ramadan. Mereka tentu berfikir bahawa dia terpikat dengan gadis yang sedang mengendalikan kaunter penumpang menunggu.

            Apabila gadis itu hendak meninggalkan kaunter, dia bergegas untuk mendapatkan maklumat terkini daripada gadis yang lengkap berpakaian kebaya batik itu.

            “Tidak ada kekosongankah cik?” Dia mempamerkan wajah sedih.

            “Maaf encik, penerbangan ini penuh. Nama encik sudah saya letak dalam senarai menunggu penerbangan seterusnya ke Kuching.” Gadis itu menjawab dan seterusnya meninggalkan kaunter.

            Penerbangan seterusnya juga tiada kekosongan. Semakin pilu hatinya mendengar lagu raya terus bergema. Lebih-lebih lagi ada dalam kalangan penumpang yang lengkap berbaju Melayu juga mulai membanjiri lapangan terbang untuk balik ke kampung halaman masing-masing. Harapannya untuk berbuka puasa bersama isterinya di Kuching musnah apabila dia gagal untuk mendapat tempat duduk di dalam pesawat. Hanya tinggal tiga lagi penerbangan ke Kuching pada hari ketiga dari Kuala Lumpur. Jika dia gagal untuk mendapat tempat duduk di dalam salah satu daripada tiga penerbangan itu, bermakna dia akan menunggu penerbangan hari keempat menjelang Aidilfitri.

            Jauh di sudut hatinya, alangkah bagusnya jika ada lebih daripada satu syarikat penerbangan yang mengendalikan perkhidmatan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching. Kalau ada sebuah lagi syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan penerbangan ke Kuching, tentu dia tidak akan tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang selama tiga hari berturut-turut. Lamunannya terhenti, tumpuannya sekali lagi ke arah kaunter penumpang menunggu. Inilah penerbangan terakhir ke Kuching untuk hari itu. Penerbangan pukul 10:00 malam. Semakin deras ombak dadanya. Dia memang mengharapkan akan mendapat tempat duduk dalam penerbangan terakhir ke Kuching pada malam ini. Di belakangnya, memang ada lebih dua puluh orang lagi yang juga dalam senarai menunggu untuk kembali menyambut Aidilfitri di Sarawak.

            Penerbangan terakhir untuk malam itu juga penuh. Dengan serta-merta gugur air matanya. Dia gagal untuk mendapat tempat duduk di dalam pesawat terakhir untuk malam ketiga itu. Harapannya untuk menyambut Aidilfitri pada hari pertama di Kuching musnah. Pada pukul 8:00 malam telah diumumkan bahawa hari raya Aidilfitri jatuh pada esok hari. Esok, kalau dia berjaya mendapat tempat duduk di dalam pesawat, suasananya tidaklah seperti menjelang Aidilfitri.

            Penumpang lain yang turut tersenarai dalam senarai menunggu juga mempamerkan wajah sedih. Tahap keghairahan untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman di Kuching pudar. Banyak perancangan bersama isteri menjelang Aidilfitri terpaksa dibatalkan. Antara rancangannya sekembali ke Kuching beberapa hari sebelum Aidilfitri termasuk membakar lemang, tidak menjadi. Begitu juga kelaziman menziarahi pusara kaum keluarga yang telah meninggal dunia menjelang Aidilfitri, juga tertangguh.

            “Encik Yusman!”

            Lamunannya terhenti. Namanya beberapa kali dipanggil oleh gadis yang bertugas di kaunter penumpang menunggu. Mustahil dia mendapat tempat duduk di dalam pesawat terakhir. Lebih-lebih lagi pesawat terakhir telah disahkan penuh.

            “Encik Yusman!”

            Sekali lagi namanya bergema di samping takbir Aidilfitri yang mulai berkumandangan.

            Dia melangkah ke arah kaunter penumpang menunggu untuk mengetahui kenapa namanya dipanggil. Tentu untuk disenaraikan dalam pesawat terawal pada pagi Aidilfitri bisiknya. Dia memang tidak seghairah pada hari pertama, kedua dan ketika menunggu untuk menaiki pesawat terakhir ke Kuching menjelang Aidilfitri.

            “Ya, saya Yusman. Ada apa cik?”

            “Encik Yusman akan menaiki pesawat seterusnya ke Kuching.”

            “Pagi esok?”

            “Tidak, malam ini.”

            “Malam ini? Eh, bukankah pesawat terakhir sudah penuh?”

            “Ya, malam ini pesawat terakhir memang sudah penuh.”

            “Ada penumpang yang menarik diri?”

            “Tidak ada penumpang yang menarik diri dalam penerbangan itu.”

            “Habis? Pesawat yang mana pula akan saya naiki?”

            “Penerbangan tambahan ke Kuching yang akan berlepas pukul 11:00

            malam ini!”

            “Yakah?”

            “Tetapi pesawat Fokker yang akan mengambil masa penerbangan

            selama tiga jam.”

            “Tiga jam?”

            Dia sudah tidak ada pilihan lain. Walaupun penerbangan ke Kuching dari Kuala Lumpur akan memakan masa tiga jam, asalkan dia dapat sampai ke Kuching. Segera dia menelefon isterinya sebaik sahaja menerima pas untuk berlepas.

            “Apa? Fokker? Tiga jam?” Terbeliak mata Marianne mendengar bahawa pesawat yang akan dinaiki suaminya dari Kuala Lumpur ke Kuching mengambil masa penerbangan selama itu. Sepanjang tempoh tiga jam di dalam pesawat, para penumpang hanya disaji dengan minuman oren dan biskut.

            Itulah peristiwa lebih tiga puluh tahun yang lalu. Ketika itu, hanya MAS memonopoli laluan penerbangan dalam negara. Belum lagi wujud AirAsia dan beberapa syarikat penerbangan lain. Selain itu, telefon pintar dan media sosial belum lagi bertapak. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga belum wujud. Hanya Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang yang mengendalikan semua penerbangan komersial.

            Kali ini, dia sekali lagi menghadapi masalah hampir serupa. Peristiwa hendak balik kampung menjelang Aidilfitri berulang. Berbanding dengan tiga puluh tahun yang lalu, hari ini sudah wujud beberapa syarikat penerbangan termasuk syarikat tambang murah AirAsia. Di media sosial banyak aduan menghiasi dinding pengguna Facebook yang berang dengan harga tiket penerbangan untuk balik kampung di Sabah dan Sarawak terlalu melambung tinggi.

            Dia bukan berhadapan dengan isu harga tiket yang mahal untuk balik kampung. Pengalaman telah mengajarnya supaya membeli tiket lebih awal. Dia tidak bergantung lagi dengan tiket separuh harga menerusi kad pelajar yang berstatus standby. Era berstatus penumpang menunggu itu sudah lama berlalu semenjak syarikat penerbangan tambang murah berperanan.

            Kali ini, dia bertugas di pejabat Pesuruhjaya Tinggi di London. Masih segar dalam mindanya apabila dunia dilanda Covid-19. Dia terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa isteri di sisi. Isterinya kembali ke tanah air lebih awal, iaitu beberapa bulan sebelum Covid-19 menyerang dunia.

           Menjelang Aidilfitri, dia tidak dapat pulang ke tanah air walaupun tiket penerbangan telah dibeli. Semua laluan udara dunia ditutup. Nasib baik ada media sosial. Pagi Aidilfitri, dia terpaksa mengadakan pertemuan video mengikut waktu tanah air. Menerusi sidang video, dia bercakap dengan seluruh anggota keluarga termasuk isterinya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya serta maaf zahir dan batin. Wang raya untuk sanak saudara di tanah air, dia urus secara dalam talian. Memang terasa sedih apabila menyambut Aidilfitri berjauhan dengan kaum keluarga.

            Aidilfitri kali ini, seperti kebiasaannya, dia memang merancang pulang ke tanah air. Namun, dia akan hanya kembali ke tanah air beberapa hari sebelum Aidilfitri. Banyak urusan berkaitan dengan tugasnya sebagai atase harus diselesaikan sebelum bercuti Aidilfitri di tanah air. Walaupun berjauhan, dia dan isterinya sering berhubung antara satu dengan yang lain menerusi kemudahan WhatsApp. Keadaannya berbeza jika dibandingkan dengan lebih tiga puluh tahun yang lalu. Waktu itu, kemudahan media sosial mahupun telefon pintar belum ada lagi.

            “Pesawat ada masalah teknikal di Heathrow,” dia memberitahu isterinya menerusi WhatsApp. Dia mendoakan agar masalah teknikal yang dialami oleh pesawat yang bakal menerbangkannya ke Kuala Lumpur itu diselesaikan segera. Dari Kuala Lumpur, dia akan bertukar pesawat untuk ke Kuching. Belum ada penerbangan terus untuk laluan Kuching ke London. Harapannya, dia sempat menaiki pesawat yang bakal membawanya ke Kuching seperti yang dijadualkan. Dua jam berlalu, pesawat masih lagi tersadai di Heathrow. Sekumpulan juruteknik masih berusaha untuk memperbaiki kerosakan yang dialami pesawat.

            Kerisauan semakin mengusiknya apabila juruterbang meminta semua penumpang bersabar. Pada masa yang sama, pihak juruteknik sedang bertungkus lumus memperbaiki kerosakan yang dialami pesawat. Waktu penerbangan dari London ke Kuala Lumpur bukan hanya sejam dua. Penerbangan terus dari London ke Kuala Lumpur tanpa henti memakan masa tiga belas jam. Itu yang membimbangkannya.

            Dia tidak mahu lagi mengalami saat menunggu yang pernah dialaminya lebih tiga puluh tahun yang lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang. Dia mahu sampai ke Kuching beberapa hari sebelum tibanya Aidilfitri. Banyak urusan yang telah dirancangnya bersama isterinya setibanya dari London. Antaranya, membakar lemang, membuat ketupat, memasak rendang dan membuat sate bersama isterinya. Kalau segala-galanya berjalan lancar, dia ingin menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan menjelang Aidilfitri di Masjid Bahagian Kuching. Terpancar dalam mindanya, di Masjid Bahagian Kuching itulah lokasi setiap kali solat Jumaat mahupun solat Aidilfitri dan Aidiladha dia lakukan. Setiap kali selepas solat di Masjid Bahagian Kuching, dia menziarahi pusara arwah ayahnya yang lokasinya di tepi masjid itu.

            Suara juruterbang bergema memaklumkan bahawa pesawat sedia untuk berlepas ke Kuala Lumpur. Terpancar kegembiraan pada wajah setiap penumpang. Lebih-lebih lagi dirinya yang mahu cepat-cepat sampai ke Kuching. Sebelum pesawat meluncur ke udara, dia sempat memaklumkan isterinya bahawa pesawat mulai berlepas dari Heathrow.

 

            Tiga belas jam di udara adalah suatu jangka masa yang penuh debaran. Terpancar kebimbangan pada wajahnya. Kebimbangan itu tidak akan berlaku jika pesawat itu mengikut jadual asalnya. Jika mengikut jadual asal, pesawat akan mendarat di KLIA seperti waktu yang telah dijadualkan. Keadaan itu sudah tentu akan memberi banyak masa untuk dia berehat sementara menunggu jadual penerbangan ke Kuching.

            Tetapi, pesawat berlepas tiga jam lewat daripada jadual asal. Itu yang menghantui fikirannya. Dia tidak berjaya untuk melelapkan matanya. Sajian di dalam pesawat tidak dijamahnya sebab dia memberitahu pramugari yang dia sedang berpuasa. Matanya sentiasa melihat jam tangannya untuk mengira berapa waktu yang berbaki sebelum mendarat di KLIA.

            Tiga puluh minit sebelum pesawat mendarat. Kedengaran suara juruterbang. Menurut juruterbang, mereka terpaksa berlegar di udara sebab kedua-dua tayar pesawat tidak dapat dikeluarkan. Keceriaan pada wajahnya lenyap bersama pengumuman juruterbang. Begitu juga dengan penumpang-penumpang lain.

            Lebih tiga kali pesawat berlegar di ruang udara Kuala Lumpur. Belum ada lagi tanda pesawat akan mendarat. Dadanya mulai berombak-ombak. Dia berdoa agar pesawat yang mereka naiki itu selamat mendarat. Sekali lagi suara juruterbang memohon agar semua penumpang bersabar. Pesawat terus berlegar di sekitar ruang udara Kuala Lumpur. Jauh di sudut hatinya, dia akan terlepas pesawat yang bakal menerbangkannya ke Kuching jika pesawat dari London itu terus berlegar di ruang udara Kuala Lumpur.

            Suara juruterbang sekali lagi kedengaran memberitahu bahawa pesawat akan mendarat sebentar lagi. Lega terlukis pada wajah setiap penumpang. Ketika itu, lagu Selamat Hari Raya kedengaran di dalam pesawat.

            Dia segera berlari apabila sahaja keluar dari pesawat. Dia tidak mahu ketinggalan pesawat yang akan menerbangkannya ke Kuching. Jam tangannya menunjukkan bahawa pesawat yang bakal membawanya ke Kuching akan berlepas dalam tempoh sejam lagi. Dia terus ke pintu 17 untuk bersama-sama dengan para penumpang yang hendak ke Kuching. Sebaik sahaja dia melabuhkan diri pada tempat duduk di dalam pesawat, kedengaran telefon pintarnya berbunyi. Kedengaran suara isterinya yang ingin tahu sama ada dia sudah sampai dari London.

            Dia memberitahu isterinya bahawa dia sedang berada di dalam pesawat yang bakal berlepas ke Kuching. Dia mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada isterinya. Pesawat yang membawanya ke Kuching berlepas tepat seperti masa yang telah dijadualkan. Apabila pesawat membawanya ke Kuching berada tinggi di udara, dia melelapkan matanya lantaran kepenatan.

 
 
Advertisement