Anda di sini

Pesara rugi RM300 selepas beg sandang dicuri

Advertisement
 Rakaman kamera litar tertutup tular yang memaparkan suspek cuba mengetuk cermin kereta mangsa.
TULAR: Rakaman kamera litar tertutup tular yang memaparkan suspek cuba mengetuk cermin kereta mangsa.

TAWAU: Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM300 selepas beg sandangnya dicuri di hadapan sebuah kedai di Jalan Bunga Raya, di sini semalam.

Terdahulu, tular satu rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan kejadian memperdaya dan mencuri beg sandang di dalam kereta seorang lelaki.

Kereta mangsa dikatakan telah diketuk oleh seorang lelaki tidak dikenali yang mengatakan ada paku di bahagian tayar belakang keretanya.

Mangsa terus keluar untuk memeriksanya, namun apabila masuk semula di dalam keretanya mendapati beg sandang yang diletak di kerusi sebelah pemandu telah hilang.

Mangsa kemudian, datang ke Balai Polis Tawau pada jam 11.32 pagi untuk membuat laporan mengenai kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dalam kenyataannya hari ini mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang lelaki berumur 57 tahun mengenai kejadian itu.

Katanya, hasil siasatan awal, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.15 pagi di hadapan salah sebuah kedai di Jalan Bunga Raya.

“Mangsa yang merupakan pesara kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM300 serta dokumen pengenalan diri dan kad bank turut dilarikan suspek.

“Polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jasmin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika keluar berbelanja di musim perayaan ini.

“Kesesakkan orang ramai ketika berbelanja menyebabkan penjenayah mencari peluang untuk melakukan pelbagai jenayah.

“Polis terus giat melakukan rondaan dan pemeriksaan pada musim perayaan terutamanya di kawsan-kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement