Anda di sini

Perbarisan Pegawai Memerintah Skuadron 503 pamer kesegakan warga

Advertisement
 Perbarisan Pegawai Memerintah Skuadron 503 pertama kali diadakan sejak penubuhan unit ini pada 1 Julai tahun lalu.
PERBARISAN: Perbarisan Pegawai Memerintah Skuadron 503 pertama kali diadakan sejak penubuhan unit ini pada 1 Julai tahun lalu.

KOTA KINABALU: “Penanda, Penanda sedia. Kepada tanda, dari kiri, cepat jalan." 

Demikian laungan dari Pegawai Waren Perbarisan Pegawai Waren 1 Teknisyen Letrik Radio (TLR) Air Quartermaster (AQM) Fazil Amin semasa Perbarisan Pegawai Memerintah Skuadron 503 yang pertama kali diadakan sejak penubuhan unit ini pada 1 Julai tahun lalu.

Perbarisan terbabit diadakan di hadapan Hangar Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) dengan disertai 17 pegawai dan 40 orang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang disempurnakan Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander (Kdr) Hairul Afikin Tukimin TLDM.

Hairul berkata selain perbarisan pertama, ia turut menjadi medan untuk menyampaikan amanat penting kepada seluruh warga dalam memacu momentum gerak kerja suku tahun pertama.

“Misi kita untuk terus ke hadapan memastikan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 kekal meluncur di udara sebagai salah satu aset TLDM yang memainkan peranan penting memastikan kelestarian sempadan maritim negara tidak diganggu pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya beliau menekankan lima prinsip seperti yang digariskan Panglima Armada Timur semasa ucapan pertama sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan. 

Menurutnya prinsip itu termasuklah kesiagaan aset, ketersediaan sumber manusia, kompetensi warga dalam mengoperasikan aset yang baharu, keharmonian hubungan sesama warga yang akan menyerlahkan kesepaduan berpasukan serta peningkatan kesejahteraan warga. 

“Intipati lain yang turut diberi perhatian ialah aspek kebajikan dengan memfokuskan Sistem Bahagian yang sudah lama dipraktikkan dalam TLDM. 

“Sistem ini masih kekal relevan sehingga kini di mana anggota bebas mengutarakan pandangan, idea atau permasalahan kepada setiap Pegawai Bahagian yang dilantik mewakili anggota. 

“Kaedah ini terbukti berkesan dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit anggota kerana selain berbincang bersama, setiap sesi tersebut akan direkodkan dalam buku khas dan akan dipantau serta disemak oleh Pegawai Memerintah setiap bulan,” katanya.

Skuadron 503 adalah unit baharu dalam pengoperasian armada aset udara TLDM di mana sebelum ini TLDM mengoperasikan pesawat Super Lynx Mk 100 oleh Skuadron 501, AS 555 SN Fennec oleh Skuadron 502 dan Unmanned Aerial System (UAS) ScanEagle oleh Skuadron 601.

  • oleh
  • Advertisement