Anda di sini

Transformasi industri kunci peningkatan produktiviti dan pendapatan

Advertisement

Oleh Tengku Zafrul Aziz 
 
DUNIA telah memasuki Zaman Kecerdasan Buatan (AI). Baru-baru ini, Kumpulan Alibaba dari China telah memperkenalkan alternatifnya kepada ChatGPT, yang dinamakan 'Tongyi Qianwen' (atau 'kebenaran dari seribu soalan).

Aplikasi seperti ini kini terdapat di mana-mana dan menimbulkan pelbagai cabaran baharu. ChatGPT juga telah meningkatkan kebimbangan terhadap plagiarisme dalam pendidikan dan industri kreatif. 

Jangan risau! Artikel ini memang karya saya sendiri, bukan ditulis oleh ChatGPT! Berbalik kepada isu AI, bolehkah ianya membantu menangani isu ekonomi yang sekian lama berlanjutan untuk Malaysia, iaitu produktiviti? 

Sebelum kita membicarakannya dengan lebih lanjut, ada beberapa fakta ‘pahit’ yang perlu kita akui.

Pertama, dari tahun 1971-2000, Malaysia mendahului ASEAN dari segi kadar produktiviti buruh. Tetapi mereka mengatasi kita dari tahun 2000 dan seterusnya. Tidak termasuk perlombongan, purata pertumbuhan produktiviti tahunan kita ialah 4.9% dari 1987-1997, tetapi hanya 2.1% dari 2007-2018. 

Kedua, isu produktiviti dan sumbangan eksport Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang lebih rendah berbanding syarikat yang lebih besar.

PMKS Malaysia menyumbang hanya 34% kepada KDNK perkilangan, dan hanya 48% kepada guna tenaga sektor yang sama, yang mencerminkan genangan sepanjang tempoh 2015-2021. 

Realiti ini mengurangkan keuntungan perniagaan dan melembapkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Lebih serius lagi, senario ini juga membantutkan pertumbuhan gaji, terutamanya dengan 75% pekerja Malaysia berada dalam sektor PMKS (termasuk perkilangan). 

Walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) - yang turut memantau dan menggalakkan produktiviti melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) - yakin bahawa teknologi boleh menjadi pemboleh utama untuk pertumbuhan produktiviti di Malaysia, persoalan yang lebih besar ialah bagaimana?  

Sehubungan itu, saya kini mempengerusikan pasukan petugas Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Kami ingin memacu transformasi industri dalam pembuatan dan perkhidmatan berkaitan untuk mewujudkan industri yang berdaya saing dengan kerumitan yang tinggi; membina tenaga kerja yang berpendapatan tinggi dan mahir; mewujudkan hubungan domestik yang kukuh dan memulakan kelompok industri baharu, di samping memastikan penyertaan rakyat kita yang saksama dan inklusif dalam pembangunan perindustrian yang mampan. 

Dalam mencapai semua objektif tersebut, teknologi seperti robotik, automasi dan AI mesti memainkan peranan utama dalam perangkaan dasar.

Mungkin ada beberapa realiti yang pahit untuk ditelan, tetapi perubahan ini perlu bukan sahaja untuk memacu transformasi perindustrian kita, tetapi juga memastikan pemerkasaan sewajarnya bagi sektor PMKS dan rakyat kita supaya mereka boleh bersaing dan berkembang maju dalam realiti baharu. 

Untuk mengimbangi kesukaran tersebut, industri yang disasarkan mesti disokong untuk membantu Malaysia menaiki rantaian nilai, untuk menghasilkan produk yang lebih berbeza dan bernilai lebih tinggi. Terdapat banyak penyelesaian teknologi yang boleh membantu kita mencapainya. 

Pertama, penyelesaian teknologi seperti 'robot kolaboratif' atau 'proses automasi robotik' boleh menjadikan tugasan seperti mengangkat barang berat atau memasang bahagian mikroskopik lebih mudah dan lebih menjimatkan kos. 

Sistem AI juga boleh mengesan ralat dalam proses pengeluaran dengan cepat atau membantu dalam memperkemas rantaian bekalan dan pengurusan inventori.

 

AI juga boleh menganalisis data daripada proses pembuatan bagi menyokong penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance) untuk pembaikan berjadual.

Dalam sektor peruncitan, analisis data melalui corak pembelian pengguna boleh menyokong pembangunan produk akan datang.

Semua ini memungkinkan penggunaan masa dan sumber yang lebih baik, komponen-komponen utama untuk produktiviti. 

Kedua, industri berasaskan teknologi boleh meningkatkan kerumitan ekonomi kita - dan kapasiti menambah nilai industri kita.

Ringkasnya, kerumitan ekonomi merujuk kepada komposisi keluaran produktif negara dan mencerminkan strukturnya yang mengekal dan menggabungkan pengetahuan. Kesemuanya ini menyumbang kepada daya saing eksport kita.

Indeks kerumitan ekonomi kita meningkat dari 1998 dan memuncak pada 1.08 pada 2013, tetapi telah menurun sejak itu. 

Proses ini boleh disongsangkan dengan mengukuhkan kapasiti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (R&D&C&I) kita.

Gabungan produktiviti dan kerumitan ekonomi yang lebih tinggi juga akan membolehkan gaji yang lebih tinggi, menggalakkan pertumbuhan gaji yang mampan dan meningkatkan daya saing eksport kita. 

Ketiga, automasi juga boleh mengukuhkan tenaga kerja kita.

Konsep yang sangat kontroversial dalam Zaman AI ialah apa yang dipanggil 'kilang lights out', iaitu kilang yang dikendalikan sepenuhnya oleh robot dengan interaksi manusia yang minimum. 

Gambaran paling hampir kepada 'kilang lights out' ialah apabila saya baru-baru ini melawat kilang Zeekr di Bandar Ningbo, China, yang merupakan jenama EV premium Geely.

'Kilang Pintar' Zeekr menggunakan teknologi 5G+ dan lebih 300 robot untuk mengautomasikan sepenuhnya proses utama seperti bahagian kimpalan.

Lawatan ke kemudahan yang sangat canggih itu membuka mata saya kepada potensi yang boleh diraih oleh Malaysia. 

Sememangnya terdapat banyak perdebatan mengenai pembuatan 'lights out,' termasuk kesannya terhadap tenaga kerja kita. Tetapi trend ini akan berterusan kerana 'Revolusi Perindustrian Keempat' (IR4.0) tidak boleh dihentikan.

Saya percaya bahawa AI dan teknologi yang seumpamanya bukanlah ancaman dan boleh dimanfaatkan untuk kedua-dua industri dan tenaga kerja kita, tetapi mesti ada dasar yang betul dan perundangan yang sesuai untuk mencegah penyalahgunaan.

Sehubungan itu, pelabur peneraju teknologi internet Ron Conway juga dilaporkan akan bermesyuarat dengan pempengaruh terkemuka dalam industri AI untuk membincangkan cara membangunkan sistem AI tanpa kesan-kesan serius yang tidak diingini. 

Keempat, memperkasakan bakat kita. 

IR4.0 memberi imperatif kepada negara seperti Malaysia untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Selain lebih ramai graduan STEM, kita juga perlu melatih semula tenga kerja kita secara berterusan untuk memastikan kemahiran mereka kekal relevan. 

MITI sudah pun merealisasikan sebahagian daripada matlamat ini melalui dasar Industry4WRD, di mana pelbagai program telah diperkenalkan untuk menyokong penerapan teknologi IR4.0, termasuk menilai kesediaan industri, serta pembiayaan untuk automasi dan pendigitalan. 

Baru-baru ini, Bajet 2023 yang dibentangkan semula turut menyediakan langkah seperti Skim Geran Pendigitalan RM100 juta untuk PKS dan pembiayaan RM1 bilion untuk membantu PMKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi. 

Tetapi perubahan sebenar bakal direalisasikan dengan NIMP 2030, dan dalam mencapai transformasi industri, PMKS Malaysia juga mesti terbuka untuk menggunapakai teknologi baharu, manakala tenaga kerja kita mesti dilatih untuk pembelajaran berterusan.

Kita mesti memastikan PMKS dan saluran tenaga kerja kita boleh membina kapasiti dalam automasi dan pendigitalan, untuk menghadapi cabaran masa depan seperti persaingan daripada negara-negara jiran kita, dan permintaan berkaitan ESG dalam pasaran. 

MITI bercadang untuk melancarkan NIMP 2030 menjelang akhir tahun ini, dan agensi-agensi kami bersedia untuk membimbing industri ke arah mentransformasikan perniagaan mereka, di samping memastikan teknologi baharu diterapkan dengan selamat, supaya Malaysia boleh terus meningkatkan pelaburan dan eksport untuk pertumbuhan ekonomi seterusnya. 
 

Advertisement