Anda di sini

Sumber rujukan terhad antara cabaran perubatan tradisional dan komplementari belum kukuh

Advertisement
 

SHAH ALAM: Sumber rujukan yang terhad serta kekurangan kepakaran dalam perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) antara cabaran utama yang dikenal pasti mengapa bidang itu belum bertapak dengan kukuh di Malaysia.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata selain itu pengharmonian metodologi penyelidikan klinikal dengan prinsip dan teori perubatan tradisional turut dikenal pasti antara cabaran utama.

Susulan itu, Dr Zaliha berkata dengan pelancaran buku Framework on Traditional and Complementary Medicine Research in Malaysia and Guildeline for Herbal Medicine Research hari ini dapat meningkatkan kuantiti serta kualiti penyelidikan bidang berkenaan.

“Di samping itu, ia diharap dapat memperkukuh jalinan kerjasama dan kolaborasi pelbagai pihak seiring dengan hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melestarikan bidang PT&K untuk kebaikan dan manfaat rakyat Malaysia.

“Selain itu, produk herba dengan pembuktian kukuh berpotensi dijadikan pilihan rawatan selain daripada ubat konvensional dan seterusnya membantu menangani jurang rawatan bagi penyakit yang sukar dirawat dengan ubat konvensional sedia ada,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran buku rangka kerja dan garis panduan tersebut di Institut Kesihatan Negara hari ini.  

Jelasnya lagi, produk herba dengan pembuktian kukuh juga telah diterima oleh pihak regulatori bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Dr Zaliha berkata buku rangka kerja PT&K itu memberikan gambaran menyeluruh tentang status terkini penyelidikan bidang perubatan itu dalam negara yang terdiri daripada beberapa perkara penting antaranya tadbir urus, domain penyelidikan, isu dan cabaran berkaitan pelaksanaan, penilaian penyelidikan dan hala tuju serta keutamaan semasa bagi penyelidikan PT&K di Malaysia.

Dr Zaliha berkata bagi garis panduan penyelidikan perubatan herba, ia akan merangkumi tatacara penyelidikan dalam membangunkan produk herba berasaskan bukti saintifik.

“Ini termasuk maklumat yang komprehensif mengenai data yang diperlukan untuk pembangunan produk herba yang merangkumi kualiti, praklinikal dan klinikal,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement