Anda di sini

Bazar Ramadan Uptown Kota Samarahan dipilih sebagai Bazar Ramadan Rahmah

Advertisement
Suhaizan (dua kiri) bersama Pengarah H&L Bong Kuet Foong semasa program pelancaran Program Jualan Rahmah di H&L, Aiman Mall Kota Samarahan, hari ini.
Suhaizan (dua kiri) bersama Pengarah H&L Bong Kuet Foong semasa program pelancaran Program Jualan Rahmah di H&L, Aiman Mall Kota Samarahan, hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Bazar Ramadan Uptown Kota Samarahan dipilih sebagai Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Negeri Sarawak, kata Setiausaha Politik Kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Suhaizan Kaiat.

Beliau menjelaskan, pemilihan bazar itu berdasarkan dan memenuhi kriteria-kriteria yang dikehendaki.

"Seramai 140 peniaga yang berada di lokasi berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 64 peniaga iaitu 46 peratus menawarkan menu Rahmah.

"Peniaga menjual barangan mereka dengan harga yang berpatutan selain bazar tersebut menjadi tumpuan orang ramai," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Program Jualan Rahmah di Pasar Raya H&L, Aiman Mall hari ini.

Beliau menjelaskan, inisiatif untuk melaksanakan BRR berkenaan adalah dengan kerjasama strategik antara KPDN dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

"Ia tidak melibatkan sebarang impilikasi kos kepada kerajaan dan menu Rahmah telah menjadi daya tarikan untuk pelanggan datang ke kedai mahupun restoran," katanya lagi.

Suhaizan berkata, pihaknya turut bersama rakan strategi S Pay Global perluaskan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan.

Katanya, ini bertujuan memastikan penjaja dan peniaga kecil turut sama melibatkan diri dalam arus perdana pendigitalan negara.

Mengenai Pelancaran Program Jualan Rahmah di Pasar Raya H&L Aiman Mall Suhaizan menjelaskan lebih 100 keperluan makanan, rumah dan keperluan sekolah dijual pada harga murah antara 10 peratus hingga 50 peratus daripada harga biasa.

"Sempena jualan rahmah, pasar raya Aiman Mall menurunkan harga ayam dan telur di mana ayam berharga RM13, manakala telur sepapan (30 biji) berharga RM15," jelasnya.

Justeru, KPDN berharap agar lebih banyak pasar raya dan pengusaha makanan menyahut dan menyokong usaha kerajaan dengan menyertai payung Rahmah tersebut.

Advertisement