KUALA LUMPUR: HELP University akan mengembangkan perkongsian strategiknya dengan DISTED College dengan menawarkan lebih banyak program ijazah di Pulau Pinang.
Kerjasama ini akan merangkumi program sarjana muda dalam Perakaunan, Perniagaan Antarabangsa, Hospitaliti, Pemasaran, Analisis Data dan Komunikasi (Kajian Media).
HELP University dan DISTED mempunyai sejarah panjang kerjasama yang berjaya dengan tawaran ijazah Psikologi HELP kepada DISTED College di Pulau Pinang sejak 2009.
Naib Canselor HELP University Profesor Datuk Dr Paul Chan dengan bangganya berkata: “Kerjasama kami dalam program psikologi telah menghasilkan banyak pencapaian unggul yang bernilai di seluruh dunia. Sekarang saya gembira kerana kami memperluaskan senarai disiplin yang akan ditawarkan.
“Senarai komprehensif ini adalah fasa pertama kerjasama strategik kami. Kami akan meneroka lebih banyak program berasaskan kompetensi yang akan ditawarkan, khususnya yang memenuhi keperluan pembangunan digital, perkhidmatan dan perindustrian Pulau Pinang. Ini termasuk latihan pembangunan profesional dan eksekutif untuk peningkatan kemahiran dan kemahiran semula,” kata Paul, sambil menambah bahawa keutamaan juga akan diberikan kepada pendidikan beraraskan teknologi dan latihan industri.
Paul Chan juga menyatakan bahawa beliau amat berbesar hati mendapat sokongan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang kini Pengerusi Lembaga Gabenor Wawasan Open University Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Pengerusi Lembaga Pengarah DISTED Dato' Seri Stephen Yeap dan Ketua Eksekutif DISTED Dato’ Lim Si Boon, dalam mengembangkan perkongsian strategik DISTED College dan HELP University.
“Saya amat menghormati kualiti dan profesionalisme pengurusan baharu dan kepimpinan akademik di bawah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Dato’ Lim Si Boon dan pasukan. Kerana ini dan mempunyai visi dan tujuan yang dikongsi, saya yakin perkongsian strategik kami akan menjadi penentu rentak yang mampan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Dato’ Lim Si Boon dan Dato’ Seri Stephen Yeap atas kejayaan transformasi DISTED College,” ujar Paul.
Menurut Paul Chan, misi kedua-dua institusi ini sememangnya bermakna dan relevan dalam konteks pembinaan negara khususnya melalui pendidikan.
“Menteri Pengajian Tinggi kita, Datuk Seri Khalid Noordin, telah menegaskan bahawa pendidikan inovatif adalah kunci kepada masa depan kita. Bersama-sama, DISTED College dan HELP University akan menjadi model perkongsian pintar untuk menyokong visi ini.”
Manakala, Lim berkata: "DISTED College dan HELP University telah berjaya meluluskan ramai pelajar dalam program Psikologi selama ini. Kami berbangga untuk bekerjasama dengan HELP University untuk pengembangan kerjasama ini yang akan memberi manfaat kepada masyarakat. Dengan nilai yang sama, kami mengharapkan kerjasama yang berjaya antara kedua-dua institusi premier ini".