Anda di sini

Sektor koperasi negara perlu graduan terlatih

Advertisement
 Ewon (tiga kanan) menyampaikan replika cek sumbangan IKMa kepada wakil Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Semalaysia (KDMMS Muslim) pada majlis itu. Turut kelihatan Mohd Ali (dua kanan).
SUMBANGAN: Ewon (tiga kanan) menyampaikan replika cek sumbangan IKMa kepada wakil Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Semalaysia (KDMMS Muslim) pada majlis itu. Turut kelihatan Mohd Ali (dua kanan).

KOTA KINABALU: Sektor koperasi di negara ini memerlukan graduan terlatih dalam membantu membangunkan bidang keusahawanan koperasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata,  penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) antara inisiatif yang mampu membantu dalam pembangunan koperasi di seluruh negara.

Katanya, UKKM yang diinisiatifkan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bakal memulakan pengambilan pertama pelajar pada Mei depan.

"Kementerian menyokong sepenuhnya penubuhan UKKM dan saya percaya kita memerlukan graduan yang dilatih untuk membangunkan sektor koperasi di negara ini.

"Secara keseluruhannya, sehingga Disember 2022, kita mempunyai sebanyak 15,315 koperasi didaftarkan dengan jumlah keanggotaan lebih tujuh juta orang dan ia adalah satu sektor yang besar.

"Justeru, kita mahu koperasi mampu berkembang terutama dalam menerapkan agenda pendigitalan oleh koperasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Bicara Ilmu Ramadan: Softlankan Hatimu anjuran IKMa Zon Sabah di sini semalam.

 Para tetamu dan peserta program merakamkan kenangan bergambar bersama Ewon sempena majlis itu.
KENANGAN: Para tetamu dan peserta program merakamkan kenangan bergambar bersama Ewon sempena majlis itu.

Ewon berkata, dengan adanya universiti berkenaan, para pelajar mampu mendalami bidang keusahawanan koperasi untuk sama-sama memainkan peranan dalam memperkasakan sektor koperasi.

Menurutnya, ia sekali gus dapat mewujudkan sinergi yang berupaya memperkasakan gerakan koperasi di antara UKKM dengan IKMa, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

"Sinergi yang wujud ini bukan hanya untuk memberi perkhidmatan kepada ahli, malah mewujudkan satu pentadbiran yang baik dan memenuhi keperluan di negara kita.

"Ia turut menjadikan gerakan koperasi sebagai satu aktiviti keusahawanan pekerjaan kepada ahli-ahli koperasi.

"Inilah pentingnya kita tubuhkan Universiti Keusahawanan Koperasi  Malaysia dan saya merekodkan penghargaan kepada IKMa serta pimpinan kerajaan lepas kerana mengambil inisiatif ini dan begitu juga kerajaan hari ini," jelasnya.

Pada masa sama, Ewon turut berharap kerajaan akan datang terus memperkasakan UKKM.

Menurutnya, tawaran kemasukan ke UKKM terbuka kepada semua dan bukan hanya melibatkan ahli koperasi. Mereka yang berminat terutama yang terlibat dengan gerakan koperasi dialu-alukan untuk memohon masuk ke UKKM.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKMa Datuk Mohd Ali Mansor berkata, pengambilan pertama pelajar UKKM pada Mei ini melibatkan seramai 30 pelajar peringkat sarjana.

Menurutnya, bagi pengambilan peringkat diploma dan ijazah akan dibuka tawaran pada Julai depan untuk kemasukan pada September yang melibatkan sekitar 300 pelajar tahun ini.

Pada majlis itu, IKMa turut menyerahkan sumbangan bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena bulan Ramadan kepada enam organisasi di Sabah.
 

  • oleh
  • Advertisement